"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Enggan berunding tanda pembangkang ada muslihat jatuhkan kerajaan sekali lagi

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menyifatkan pembangkang mempunyai muslihat apabila enggan berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan peruntukan wakil rakyat blok itu.

Beliau berkata, pembangkang seperti menyimpan agenda untuk terus mewujudkan suasana tidak harmoni sekaligus menggambarkan kerajaan boleh ditukar sekali lagi.

“Bila pembangkang tidak bersedia untuk berunding, kita tidak tahulah apa objektif mereka.

“Sebab itu rakyat sebenarnya berpandangan apabila pembangkang tidak bersetuju untuk berunding, maknanya pembangkang ini ada agenda tersendiri untuk terus mewujudkan suasana yang tidak harmoni dan memberikan persepsi bahawa kerajaan ini boleh ditukar lagi,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Azli berkata, dakwaannya itu dibuktikan dengan kenyataan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu bahawa kerajaan boleh ditukar melalui undi tidak percaya, atau pun melalui Akuan Bersumpah (SD) Ahli-ahli Parlimen.

Beliau berkata, persepsi bahawa kerajaan boleh dijatuhkan sekali lagi adalah gambaran yang tidak baik terhadap rakyat yang ingin kestabilan.

Pada semalam, Anwar menasihatkan pembangkang agar tidak angkuh dan sombong, sebaliknya berbincang dengan kerajaan mengenai peruntukan wakil rakyat mereka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Fadillah Yusof bagi membincangkannya dan kaedah itu sama seperti ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang pernah menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan kerajaan.

Sementara itu Azli berkata, apabila perbincangan dibuat bersama kerajaan, tidak timbul isu bahawa pembangkang perlu bersetuju ‘bulat-bulat’ dengan apa yang dilakukan kerajaan.

Sebaliknya perjanjian itu sama seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri – iaitu hanya melibatkan persetujuan seperti; kerajaan perlu terus disokong untuk kekal stabil bagi memberikan keyakinan kepada semua pihak terutama rakyat dan pelabur.

“Pembangkang boleh terus memberikan kritikan, saranan sama ada di Parlimen atau pun di luar (Parlimen). Tidak ada masalah.

“Tetapi yang pentingnya ialah kerajaan itu mesti harus stabil, mesti harus disokong supaya dia boleh berikan keyakinan kepada pelabur dan rakyat bahawa kerajaan ini akan kekal…

“Kita akan pulihkan ekonomi dan pupuk perpaduan. Manakala pembangkang bertindak sebagai check and balance dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Kerajaan Madani sekarang ini akan berikan peruntukan itu tapi mestilah ada perundingan dan persetujuan-persetujuan tertentu,” ujarnya.

Ketika PN memerintah selepas menggulingkan kerajaan PH dari tampuk pentadbiran, Mahiaddin tidak memberikan peruntukan kepada pembangkang walau diasak untuk berlaku adil.

Ketika Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri Kesembilan, peruntukan pembangkang mula diberikan sama rata selepas rundingan bersama dilakukan.

Tiada ulasan: