"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita gagal keluar Islam sele

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah sivil menolak permohonan seorang wanita di Sarawak untuk kembali menganuti agama Kristian, selepas memeluk Islam untuk berkahwin dengan seorang lelaki Islam tetapi perkahwinan mereka tidak menjadi.

Peguam Iqbal Harith yang mewakili wanita berusia 26 tahun itu mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Peguam itu berkata, hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan antara lain bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu yang melibatkan kes untuk murtad, dan hanya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengenai perkara seumpama ini.

Ketika dihubungi hari ini, peguam persekutuan Sallehudin Md Ali - yang mewakili kerajaan mengesahkan keputusan prosiding dalam talian itu.

Kerajaan menjadi salah satu pihak daripada tiga responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) itu menambah bahawa mahkamah sivil turut memerintahkan wanita berkenaan membayar RM3,000 kepada responden.

Pada 26 April lalu, pemohon memfailkan tindakan undang-undang, yang turut menamakan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), sebagai responden.

Dia memohon perisytiharan bahawa pendaftar muallaf diberi kuasa oleh Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi Islam.

Dia juga memohon agar namanya dikeluarkan serta-merta daripada daftar muallaf.

Dalam afidavit menyokong permohonan kebenaran semakan kehakiman itu, dia berkata pada 18 Ogos 2017, dia memeluk Islam untuk berkahwin dengan seorang lelaki Melayu-Islam, tetapi hubungan mereka berakhir tanpa perkahwinan.

Menurut kertas kausa, dia berhujah bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan kerana menyatakan bahawa mereka yang memeluk Islam akan kekal Islam sepanjang hayat.

Dia mendakwa peruntukan peringkat negeri ini bercanggah dengan undang-undang peringkat kebangsaan, antra lain, Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seseorang mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

Dia seterusnya berhujah bahawa Seksyen 85(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) tidak mengikut perlembagaan kerana ia menyebut bahawa mereka yang mengucap kalimah syahadah secara automatik menjadi Islam, tetapi pada masa yang sama, tidak menyatakan bahawa mereka yang berbuat demikian mesti percaya dengan agama itu.

Tiada ulasan: