"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat tanpa identiti disyaki mangsa bunuh ditemui

Bernama

ALOR GAJAH: Mayat tanpa identiti yang hampir reput dipercayai dibunuh, ditemukan berhampiran sebuah kebun kelapa sawit di Pulau Sebang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata mayat dipercayai lelaki warga tempatan itu dijumpai kira-kira 10 pagi selepas orang awam terhidu bau busuk di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit berkenaan.

“Mayat itu ditemukan berseluar jeans dalam keadaan berulat dan hampir reput dalam rimbunan semak-samun.

“Siasatan kes ini pada asalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun hasil bedah siasat dijalankan pegawai perubatan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan dan kepala mangsa dipercayai ditikam menggunakan objek tajam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang senjata ditemukan berhampiran lokasi kejadian penemuan mayat mangsa dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap satu laporan polis berkaitan kehilangan seorang lelaki warga tempatan yang dibuat keluarga mangsa di IPD Tampin, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Zainol berkata sehubungan itu, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dijalankan terhadap keluarga pengadu terbabit bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah menerusi talian 06 5562222 atau balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: