Malaysiakini
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mencabar tiga pertuduhan berkaitan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM860.3 juta yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.
Peguam Datuk Hamidi Mohd Noh yang mewakili Jamil Khir, 65, memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memfailkan beberapa permohonan berhubung pertuduhan dalam kes itu, termasuk mencabar pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.
"Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk berkaitan pasport selepas meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan," katanya pada prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Rosli Ahmad, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memberitahu mahkamah pihaknya sudah menyerahkan satu jilid dokumen kepada pembelaan, dan memerlukan masa untuk menyerahkan baki dokumen termasuk dokumen perbankan.
Sementara itu, Hamidi turut memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang dibuat oleh orang awam dalam media sosial, yang dikhuatiri boleh mengundang subjudis terhadap kes berkenaan.
"Kes ini telah dibawa dan sedang dibicarakan di mahkamah. Dalam media sosial dan kalangan orang awam, mereka perlu faham bahawa apa-apa keputusan perlu datang daripada mahkamah dan bukan daripada media sosial.
"Pihak kami telah mengidentifikasi akaun yang berpotensi untuk dibawa ke mahkamah untuk dirujuk kepada perkara subjudis yang boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah," katanya.
Rosli kemudian menetapkan 14 Jan depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen lanjut.
Pada 14 Sept, Jamil Khir didakwa atas tiga pertuduhan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan secara tidak jujur telah menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta miliknya, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan dengan SAR44.170 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd ( Al-Rawda).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Aras 9, Blok D7, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 3 April 2015 dan di pejabat sama di Aras 10, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya pada 14 Dis 2016 dan 17 Ogos 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan