"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru bebas 7 tuduhan amang seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Guru sekolah menengah di Perlis dilepas dan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki ketika itu berusia 14 tahun, pada 2019.

Mahkamah Sesyen Kangar membuat keputusan itu selepas berpuas hati keterangan dikemukakan tertuduh dan saksi-saksi pembelaan mempunyai merit.

Guru itu yang juga warden sekolah tersebut menafikan perbuatan terhadap mangsa, sebaliknya menegaskan pelajar itu mereka-reka cerita dan membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati kerana tidak diberikan telefon bimbit yang dijanjikan kepadanya.

Mangsa ketika itu merupakan pelajar tingkatan dua tinggal di asrama tersebut dan semua kejadian berlaku di rumah warden asrama.

Pembelaan tertuduh juga menyatakan mangsa mempunyai motif untuk mengenakannya selepas menerima maklumat bahawa pelajar berkenaan pernah membuat gangguan seksual terhadap rakan lain, lapor Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Hakim Musyiri Peet berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.

Warden itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa antara Oktober 2019 dan Mac 2020 pada waktu berbeza, antara 12 tengah malam dan 3 petang di rumah guru, kuarters warden asrama sekolah berkenaan di Arau.

Guru itu dalam pembelaannya juga menyatakan, pelajar itu tidak berpuas hati selepas tertuduh membuat laporan kepada pihak pentadbiran sekolah selepas menerima aduan bahawa mangsa membuat gangguan seksual terhadap dua rakan sekolahnya.

Salah seorang remaja yang dikatakan mangsa gangguan seksual pelajar berkenaan mengesahkan dia (mangsa dalam pertuduhan) pernah melakukan onani terhadapnya, demikian menurut hakim berkenaan.

Musyiri selanjutnya berpendirian, mahkamah telah meneliti keterangan saksi-saksi pembelaan terdiri daripada ketua guru disiplin sekolah serta laporan polis guru berkenaan berhubung dakwaan mangsa melakukan gangguan seksual terhadap seorang lagi rakan pelajar.

Hakim berkata, beliau menerima keterangan tertuduh bahawa dia difitnah atas alasan ketika kejadian didakwa berlaku, pintu asrama dikunci setiap 11 malam dan warden bertugas akan membuat rondaan bagi memastikan pelajar berada di asrama pada waktu malam.

Tiada ulasan: