"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hempuk ibu guna topi keledar, anak dipenjara 5 bulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki dihukum lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah menghempuk kepala ibunya menggunakan topi keledar, minggu lalu.

Tertuduh, Ezat Hamidee Abdul Latib, 35, menyatakan dia berbuat demikian kerana marah ditegur oleh ibunya, selain malu apabila keluarga mengetahui dia baru keluar pusat serenti.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Ezat yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tambak Bugis, Telok Mas, kira-kira 12.30 tengah hari pada 4 Ogos lalu, lapor Berita Harian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Melaka Tengah, hari sama, pada 2.30 petang.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan diberikan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 17 September ini bagi mendapatkan laporan patologi.

Tiada ulasan: