"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol murid darjah enam, lelaki dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan

Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 18 tahun lelaki rogol murid
Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bekas penghantar barang yang merogol seorang murid darjah enam di sebuah hotel bajet, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Azmi Ariffin menolak rayuan Muhammad Nur Hidayat Md Selliman, 31, untuk mengurangkan hukuman penjara dan sebatan itu.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh Julai 31 lepas yang dimuat naik di laman web kehakiman, Azmi berkata Nur Hidayat mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak-kanak berumur 11 tahun ketika itu untuk melampiaskan nafsunya tanpa rasa bersalah atau simpati.

Beliau berkata kesalahan serius dan perbuatan keji itu perlu dihukum setimpal untuk melindungi golongan kanak-kanak daripada sering menjadi mangsa mudah jenayah seksual.

Pada hemat kami, perayu sebagai seorang dewasa dan matang pemikirannya pasti dapat memikirkan bahawa perbuatan liarnya itu bukan sahaja akan berakhir dengan kemudaratan dan bencana pada dirinya sahaja, tetapi yang lebih menyedihkan ia telah mencemar kesucian, kehormatan dan maruah mangsa sendiri, katanya.

Beliau berkata hukuman keras tersebut bukan sahaja berbentuk pencegahan kepada perayu tetapi juga sebagai peringatan buat orang awam, sekali gus menunjukkan keseriusan mahkamah menangani dan membanteras jenayah jijik itu daripada berterusan.

Nur Hidayat didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor pada 21 Dis 2022 kerana merogol kanak-kanak itu di sebuah hotel di Batu Pahat pada 2.30 petang, 20 Nov 2020.

Dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan, serta diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan selain diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani pemenjaraan.

Pada 22 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Muar menolak rayuan Nur Hidayat terhadap sabitan dan hukuman serta mengekalkan perintah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, sebelum lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman sahaja.

Tiada ulasan: