"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saksi: Guru dilibas suspek kes serang di tandas surau

Bernama

PETALING JAYA: Seorang saksi kes serangan lelaki bersenjatakan pisau di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya memaklumkan terdengar jeritan meminta tolong sebelum guru besar Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Al-Ehsaniah bergegas memberi bantuan.

Salwiah Yusof yang juga guru sekolah agama itu berkata dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, dia bersama guru besar serta beberapa guru wanita lain sedang membuat persiapan pembelajaran sesi petang yang akan bermula selepas solat Jumaat.

“Bagaimanapun, tiba-tiba kami terdengar jeritan meminta tolong dari arah tandas surau yang tidak jauh dari sekolah menyebabkan guru besar segera ke tandas itu untuk melihat apa yang sedang berlaku, tetapi kami masih di dalam kelas.

“Bagaimanapun tidak lama selepas itu, kami terdengar jeritan meminta tolong semakin kuat menyebabkan saya dan beberapa guru wanita berlari untuk melihat apa berlaku sebelum menemukan guru besar dalam keadaan cedera pada pergelangan tangan.

Seorang lagi wanita yang dipercayai singgah di surau berkenaan untuk solat Zuhur cedera pada perut dan kepala akibat dilibas dengan pisau, namun kelibat lelaki terbabit tidak kelihatan dipercayai sudah melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Salwiah berkata guru besar sempat memaklumkan semasa hendak masuk ke tandas itu, dia melihat wanita berusia 26 sedang bergelut dengan suspek dan ketika cuba membantu, dia turut dilibas dengan pisau pada bahagian tangan.

Sementara itu, Pengerusi Surau dan Kafa Al-Ehsaniah, Roselee Mohamed, berkata sebelum ini pernah berlaku rompakan di surau itu.

Sebelum ini pernah berlaku rompakan di dalam surau ini, namun kejadian serangan menggunakan senjata kali pertama terjadi, katanya kepada pemberita.

Roselee berkata kawasan surau itu dilengkapi tiga kamera litar tertutup.

Dalam kejadian itu, dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau di dalam tandas surau terbabit.

Polis sedang giat mengesan suspek dan menyiasat motif sebenar serangan.

Tiada ulasan: