"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mungkinkah PN berubah wajah selepas Nenggiri?

Mohsin Abdullah

Jika boleh seberang-menyeberang berdasarkan persamaan, mungkinkah kelak difikirkan PAS dan Bersatu wajar dijadikan satu entiti?

Apabila Perikatan Nasional menamakan calonnya untuk PRK Nenggiri, saya melihat implikasi mendalam dan boleh membuka kemungkinan PN berubah wajah. Dalam lain perkataan ubah komposisi.

Kerusi DUN Nenggiri pada PRN tahun lalu diperuntukkan kepada Bersatu. Nenggiri merupakan satu daripada enam kerusi yang diserahkan PAS kepada rakan mereka dalam PN.

Lalu bertandinglah Mohd Azizi Abu Naim menggunakan logo PAS yang sinonim dengan pengundi Kelantan. Strategi tepat. Azizi menang. Namun tidak lama kemudian beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini diikuti perisytiharan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerusi Nenggiri kosong bermula 19 Jun lalu. Keputusan itu susulan DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Bersatu yang memaklumkan Azizi hilang keahlian Bersatu lalu berlaku kekosongan luar jangka.

Apabila kekosongan terjadi pilihan raya kecil mesti diadakan. Pemimpin PAS Kelantan mahu mendapatkan semula kerusi Nenggiri. Pada pandangan saya tidak mustahil PAS pusat dalam diam sependapat kerana kemenangan di Nenggiri lebih cerah jika PAS yang bertanding.

Kalau calon Bersatu boleh menang tahun lalu dengan lambang PAS, apa lagi kalau PAS ori yang bertanding.

Namun pemimpin tertinggi PAS terikat dengan keputusan awal yang memberi Nenggiri kepada Bersatu. Maka PN di mana PAS menjadi tulang belakang memutuskan Nenggiri tetap ditandingi Bersatu. Nampak gentleman PAS berpegang pada janji walaupun mungkin dalam hati mahukan kerusi itu semula.

Bagaimanapun langkah bijak dilaksanakan PAS. Pemimpin Pemuda PAS Gua Musang Mohd Rizwadi Ismail keluar PAS dan menyertai Bersatu sekali gus dinamakan calon Bersatu untuk PRK Nenggiri.

Kita diingatkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah (musuh ketat PAS) Ridzwan Abu Bakar bahawa sebelum ini PAS menghukum tindakan keluar parti sebagai haram. Di Facebook beliau menegaskan ketika kami keluar dari PAS kami dianggap meninggalkan jamaah Islam lalu dibaca hadith ‘sesiapa yang keluar jamaah Islam walaupun sejengkal maka tertanggallah islam dari tengkoknya’ lalu dihukumlah dengan pelbagai hukum.

Kali ini berbeza. Rizwadi keluar PAS dengan restu kepimpinan parti. Surat mengizinkan beliau keluar parti dikatakan ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Agung Takiyuddin Hasan. Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Malaysiakini berkata keputusan supaya Rizwadi menyertai Bersatu satu ‘taktik strategik’.

Rizwadi mendedahkan pemimpinnya yang bertanggungjawab membawa beliau ‘berhijrah’ ke Bersatu. Beliau dipetik Harakahdaily berkata beliau akur selepas diminta berkali-kali oleh pihak atasan PAS, termasuk dalam kalangan pemimpin tertinggi parti.

Ekoran itu saya mendapat kepastian daripada Mursyidul Am Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob dan Presiden Hadi Awang memandangkan saya diminta menyertai Bersatu.

Hakikatnya Rizwadi diminta ‘berkorban’ dengan berhijrah. Saya ulangi itu strategi bijak. Sama ada its morally right soal lain. Dalam politik lazimnya matlamat menghalalkan cara.

Kata Ketua Penyelidik Yusri Ibrahim di Ilham Centre, calon Bersatu PRN 2023 melompat selepas menang, calon Bersatu PRK 2024 melompat untuk jadi calon. Itu kata beliau dalam istilah atau lelucon kedai kopi untuk berbunyi lebih akademik saya namakan sebagai calon hibrid.

Menurut Yusri, hibrid istilah kejuruteraan generik. Bahasa awamnya adalah kacuk — dengan kata lain calon PN untuk PRK Nenggiri kacukan PAS-Bersatu.

Kesimpulannya Bersatu nampak macam dapat jadi calon tetapi tidak. PAS nampak macam terlepas peluang bertanding tetapi tidak. Kerana yang bertanding orang PAS walaupun atas kertas Bersatu.

Adakah Bersatu tidak punyai orang sendiri yang layak untuk dijadikan calon? Kata Takiyuddin PAS adalah kakak manakala Bersatu adalah adik. Situasi yang berlaku apabila si adik mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta bantuan anak kakaknya.

Maksudnya Bersatu tidak cukup anak lelaki (anak jantan dalam istilah lazim orang Melayu) untuk mengerjakan ‘ladang’?

Berbalik tajuk penulisan ini. Apa pun yang berlaku di Nenggiri membuka pelbagai kemungkinan. Kata Ketua PAS Gua Musang Azman Ahmad kepada FMT Kita adik-beradik boleh pergi mari. Bersatu boleh ke PAS, PAS boleh pergi ke Bersatu.

Ertinya PAS dan Bersatu boleh merentasi parti. Tidak ada sempadan. Adakah ini akan jadi amalan di seluruh negara bagi PAS dan Bersatu? Saya tidak dapat pastikan sama ada Takiyuddin ada bercakap senada ketua Gua Musang.

Cuma ingin bertanya mungkinkah amalan itu akan akhirnya membawa kepada penubuhan hanya satu parti Melayu-Islam dalam PN? Jika boleh ‘pergi mari’ atau seberang-menyeberang berdasarkan persamaan, mungkinkah kelak difikirkan PAS dan Bersatu wajar dijadikan satu entiti? Kerana PAS dan Bersatu dilihat sebagai satu maka wajar disatukan tetapi at the expense of Bersatu?

Memandangkan PAS kuat dan dominan dalam PN, adakah mungkin difikirkan lebih afdal Bersatu dibubarkan, ahlinya masuk PAS, dan PAS menjadi parti Melayu-Islam tunggal dalam PN?

Imbau kembali catatan Ridzwan di Facebook yang disebut tadi. Selain yang ditulis di perenggan terdahulu, beliau juga menegaskan: Bila kami isytiharkan Parti Amanah Negara adalah parti berteraskan Islam, PAS pun kata ‘tak boleh ada jamaah Islam kedua’, dibacakan hadith ‘apabila dibaiah khalifah yang kedua,maka perangilah yang berbaiah’.

Tiada ulasan: