"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kekaburan pimpinan sukarkan Bersatu damaikan PAS, Gerakan

Iqbal Harraz

Meskipun dikhabarkan keadaan kembali baik-baik saja semalam, beberapa pemerhati berpendapat pada hakikatnya sukar untuk Bersatu memastikan tiada kemelut melanda PAS dan Gerakan sekali lagi.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, berkata 'kekaburan' yang ada pada Bersatu akan menyukarkan usaha 'membroker' persefahaman di antara kedua-dua parti komponen PN berkenaan.

Katanya Bersatu sendiri mengalami isu dalaman yang dilihat belum dapat diselesaikan secara tuntas.

"Tak jelas siapa pemimpin (sebenar) dalam Bersatu sekarang ini, sama ada Muhyiddin Yassin atau Hamzah Zainudin," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Kemelut itu, kata Jamaie, tergambar apabila parti itu 'menyusun' kepemimpinannya dengan mengetepikan penyandang timbalan presiden, Ahmad Faizal Azumu, bagi memberi ruang kepada Hamzah.

Azmin Ali pula, katanya, ditawarkan jawatan setiausaha agung yang ditinggalkan Hamzah dalam langkah kompromi mereka kesan daripada persaingan dalam Bersatu.

Menurut Jamaie lagi, mungkin ada yang melihat Bersatu cuba berperanan seperti PKR yang pernah menjadi orang tengah mendamaikan PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat dulu.

Namun katanya keadaan ketika itu dengan sekarang adalah berbeza.

“Sewaktu Pakatan Rakyat ada, PAS dan PKR mempunyai dua pemimpin yang mempunyai ketokohan besar namun sederhana iaitu Anwar Ibrahim dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Mereka berdua - terutamanya Nik Aziz - berjaya melembutkan DAP sewaktu berselisih dengan PAS.

“Kini, ketika Bersatu ada krisis ketokohan dalam barisan kepimpinan mereka, PAS pula tiada pemimpin yang sederhana bagi meredakan konflik yang berlaku dalam PN,” katanya.

PAS bertindak ‘keterlaluan’

Jamaei turut menambah cabaran mendamaikan kemelut di antara parti komponen dalam sesebuah gabungan menjadi sangat mencabar apabila ia melibatkan PAS.

“PAS adalah sebuah parti yang sukar dikawal kerana sifat ekstrem mereka. Mana-mana parti yang pernah berkawan dengan PAS pasti sudah merasainya.

"Memang perlu ada pemimpin yang benar-benar ada ketokohan untuk menyelesaikan isu seperti ini,” katanya.

Kemelut terbuka di antara PAS dan Gerakan bermula dengan perbezaan pendapat isu pembabitan syarikat arak dalam program menyalurkan dana kepada sekolah Cina baru-baru ini.

Kedua-dua pihak menzahirkan pandangan berbeza sehingga mendorong beberapa pemimpin PAS secara terbuka mengkritik Gerakan, bahkan mempersilakan parti itu jika mereka mahu keluar PN.

Malah beberapa pemimpin dan media PAS menyelar Gerakan dengan menganggap parti berkenaan "senada dengan DAP" iaitu parti yang menjadi musuh ketat mereka.

Pada awalnya teguran PAS kepada Gerakan dinyatakan oleh ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, sebelum diikuti Tuan Ibrahim sendiri, serta Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Tidak ketinggalan salah seorang Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah.

Bagaimanapun Hamzah mendakwa kemelut antara dua parti dalam PN itu telah berjaya diselesaikan dan menganggapnya sekadar riak dan kocakan di dalam cawan.

Perlu seimbang demi kelangsungan

Ahli parlimen Larut itu menambah, apa yang terjadi di antara PAS dan Gerakan sesuatu yang lumrah dalam hubungan sesebuah keluarga.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik di Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya, Mohammad Tawfik Yaakub, berpandangan tindakan PAS mengugut dan secara tidak langsung menghalau keluar Gerakan adalah sangat keterlaluan.

Katanya PAS sepatutnya berbincang terlebih dahulu di peringkat pimpinan tertinggi PN sebelum mengeluarkan kenyataan keras kepada rakan sama gabungan.

Tawfik turut membandingkan cara perselisihan dalam PN itu diuruskan dengan isu sesama komponen parti di dalam kerajaan perpaduan yang dilihat lebih matang dan cermat menyelesaikan masalah antara mereka.

“Parti-parti dalam kerajaan perpaduan lebih banyak perbezaan antara mereka namun kemelut itu tidaklah sampai ingin menghalau rakan sendiri keluar daripada gabungan,” katanya.

Ahli akademik di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei, menganggap perselisihan antara PAS dan Gerakan adalah perkara biasa yang berlaku antara parti yang memiliki ideologi berbeza namun bekerjasama di bawah satu payung.

“Ia perlu dilakukan demi kelangsungan parti masing-masing demi meyakinkan kelompok sasaran (rakyat) bahawa mereka masih berpegang kepada prinsip perjuangan yang diuar-uarkan,” katanya.

Namun, Lau menekankan pentingnya keseimbangan dalam sebuah gabungan parti politik.

“Apabila ada parti yang terlalu dominan dengan ideologi mereka dalam kerjasama tersebut, ia tidak baik kepada gabungan.

"Misalnya lihat sewaktu PRU 2008 apabila ideologi konservatif Melayu terlalu dominan dalam BN.

“Walaupun Umno berjaya menang banyak kerusi di Pulau Pinang, negeri itu tumbang kepada Pakatan Rakyat kerana MCA dan Gerakan dalam BN mula lemah,” katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ayuni Mohd Isa pula menegaskan PAS dan Gerakan harus meningkatkan penglibatan konstruktif sesama mereka.

“Komunikasi, tolak ansur dan toleransi perlu diutamakan dalam kerjasama bagi mengurangkan konflik yang berlaku.

“Bersatu harus berperanan sebagai pemoderat di antara kedua pihak dengan meleraikan pertikaman lidah antara PAS dan Gerakan tanpa perlu mana-mana pihak mengetepikan prinsip parti masing-masing,” katanya. 

Tiada ulasan: