"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beradik diculik lima lelaki kerana enggan bayar ganti rugi kenderaan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Lima lelaki termasuk dua warga asing, ditahan kerana menculik dan melarikan dua beradik dari sebuah rumah dekat Jenjarom, Kuala Langat pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 37 tahun itu ditahan di Bandar Bukit Raja, Klang awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada kakak mangsa berhubung kejadian itu pada pagi Isnin lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 26 dan 20 tahun dilarikan beberapa lelaki yang bersenjatakan batang besi di rumah keluarganya.

"Beberapa minit kemudian, hanya salah seorang mangsa pulang dan telefon bimbit abangnya gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata hasil maklumat membawa kepada penahanan lima suspek pada jam 2.30 pagi tadi.

"Polis turut berjaya menyelamatkan mangsa di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang.

"Serbuan itu turut membawa rampasan sebuah kenderaan curi selain beberapa peralatan pecah rumah dan barang hasil kegiatan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, motif awal kejadian dipercayai berpunca mangsa tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan suspek yang rosak selepas dipinjamnya.

Katanya, semakan mendapati dua suspek tempatan memiliki rekod jenayah lampau dan pihaknya berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 365, 379A serta 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: