"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dipercayai bunuh isteri dengan letak bom dalam mulut mangsa

BuletinTV3

BANGKOK: Seorang lelaki dari wilayah utara Mae Hong Son di Thailand, dipercayai membunuh isterinya dengan meletakkan bom di dalam mulut mangsa, 6 Ogos lalu.

Memetik laporan The Straits Times, suspek berusia 54 tahun itu yang dikenali sebagai Yon bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Luen, 53, ditemui dalam keadaan yang mengerikan dengan kepalanya berlumuran darah dan mengalami kecederaan besar pada mulut dan mukanya.

Beberapa giginya berada di lantai bilik tidurnya, dengan serpihan bom ping pong dan bom yang tidak digunakan daripada jenis sama turut ditemukan di tempat kejadian.

Menurut laporan media lain, alat letupan ini dikenali sebagai bom ping pong kerana saiznya lebih kurang sama dengan bola ping pong.

Yon melaporkan kematian isterinya kepada seorang ketua kampung pada tengah malam, mendakwa bahawa dia bangun sebelum mendapati isterinya mati.

Ketua kampung itu berkata, dia tidak segera memaklumkan kepada polis.

Menurut penyiar Thai Channel 7, Yon tidak bersuara dan kelihatan tidak berminat apabila polis menyiasat tempat kejadian.

Anak perempuan pasangan itu yang berusia 24 tahun kemudian tiba di tempat kejadian dalam keadaan menangis sambil menuduh bapanya sebagai pembunuh.

Menurut laporan lain, Yon sebagai berkata, dia tidur di bilik yang sama dengan Luen, tetapi tidak mendengar sebarang letupan.

Penduduk tempatan memberitahu pemberita bahawa Yon mempunyai kecenderungan untuk cemburu, dan sering bertengkar dengan isterinya selepas minum arak.

Kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Tiada ulasan: