"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DAP tuntut individu gelar parti itu sebagai kafir harbi mohon maaf

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu adalah 'kafir harbi di Malaysia' supaya memohon maaf.

Kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman berkata, individu itu dipercayai pengerusi majlis mengeluarkan kenyataan itu pada program ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

"Kami merujuk kenyataan dalam sebuah rakaman video yang tular memaparkan program ceramah Pas dan PN semasa PRK Nenggiri. Seorang individu yang kami percaya mempengerusikan majlis mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah 'kafir harbi di Malaysia'.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan itu. DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum termasuk beragama Islam," katanya.

Menurut kenyataan itu, ceramah berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut katanya, istilah 'kafir harbi' adalah istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir (darul harb) ke atas negara umat Islam (darul Islam).

"Golongan kafir itu diklasifikasikan sebagai 'kafir harbi' dan halal darahnya untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.

"Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah Pas di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri terhadap ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima.

"Kami menuntut individu dalam rakaman video itu meminta maaf terhadap semua ahli DAP beragama Islam yang dihukum sebagai kafir oleh beliau. Kami menuntut kepimpinan Pas dan PN supaya menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau individu itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga menggesa pihak PN berkempen dengan matang dan sejahtera serta tidak memainkan politik kebencian.

Terdahulu tular satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pengerusi majlis yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi di Malaysia.

Tiada ulasan: