AMRAN ALI

Seorang pemandu bas dan ibu tunggal dicekup JAIM selepas disyaki berkhalwat di dalam sebuah bas di Jalan Hang Tuah, awal pagi semalam. - Foto IHSAN JAIM
MELAKA – Seorang pemandu bas yang merupakan bapa tunggal dan seorang wanita juga berstatus ibu tunggal dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berkhalwat di dalam sebuah bas di Jalan Hang Tuah, di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.50 pagi itu, pasangan itu yang berusia 37 dan 46 tahun diserbu ketika sedang tidur bersebelahan di atas kerusi.
Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, pemeriksaan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai keadaan mencurigakan pasangan terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.
“Ketika ditahan, pasangan yang berasal dari Melaka itu memberi alasan mereka hanya berehat selepas keluar makan bersama sebelum tertidur di dalam bas tersebut.
“Bagaimanapun, kedua-duanya gagal membuktikan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri sebelum dibawa ke pejabat JAIM bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan