"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: PATI bayar ribuan ringgit untuk masuk bekerja di Malaysia

Nor Amalina Alias
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad (tengah) ketika menyoal 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO NSTP
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di perairan Kuala Tumpat, Ahad lalu.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan membabitkan lapan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 41 tahun.

Katanya, lapan PATI warga Bangladesh ditemui berhimpit di dalam sebuah kenderaan Volkswagen, manakala empat lagi berada di dalam kereta Proton Satria.

“Kejadian bermula jam 6.15 petang apabila Tim Operasi Darat 1 mengesan bot laju mencurigakan di perairan Kuala Tumpat, sebelum bot itu dilihat menyusuri Sungai Tumpat.

“Susulan itu, Bot Maritim dan Tim Operasi Darat 2 digerakkan ke lokasi. Kira-kira jam 6.30 petang, pasukan operasi mengesan bot berkenaan cuba merapat ke tebing sungai di Kampung Kelong, Tumpat, dipercayai untuk menurunkan PATI,” katanya.

Menurutnya, bot berkenaan kemudian melarikan diri melalui laluan tidak diwartakan.

“Siasatan susulan oleh Tim Operasi 3 berjaya menahan dua kenderaan serta 12 PATI terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan imigresen.

Kamal berkata, dua lagi pemandu yang dipercayai warga tempatan berjaya melarikan diri.

“PATI ditahan mendakwa membuat bayaran antara RM1,500 hingga RM3,500 untuk masuk ke Malaysia bagi tujuan bekerja dalam sektor pembinaan, pembersihan dan kedai makan.

“Ada yang mendakwa membuat bayaran penuh sebelum perjalanan, manakala sebahagian lagi membayar separuh. Terbaru, kami turut mengesan kes ejen menanggung bayaran terlebih dahulu, namun PATI terbabit wajib bekerja dengan mereka.

“Kebanyakan PATI sebenarnya mampu membayar ribuan ringgit kepada ejen. Namun mereka tetap memilih laluan haram untuk masuk ke negara ini kerana disenarai hitam terutamanya warganegara Indonesia selain mahu tinggal lebih lama dan bekerja mengikut sektor pilihan sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: