"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GPS serah kebijaksanaan Agong putuskan siapa PM

Malaysiakini

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat keputusan mengenai calon yang sepatutnya menjadi perdana menteri ke-10.

Dalam satu kenyataan, GPS berkata gabungan itu telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut mengenai PH yang menang 82 kerusi parlimen pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik perdana menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan.

GPS turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambilkira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Tiada ulasan: