"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masyarakat Dayak beri amaran kepada GPS

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Seorang aktivis veteran memberi amaran kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa keputusannya untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri seterusnya boleh menimbulkan kemarahan masyarakat Dayak.

Pengasas Saya Anak Sarawak (SAS) Peter John Jaban berkata, pengundi Dayak mungkin akan menghukum GPS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana menyokong PN dalam membentuk kerajaan persekutuan.

Sin Chew Daily semalam memetik Fadillah Yusof, naib presiden kanan parti tonggak GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, sebagai berkata, gabungan itu telah mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan Ahli Parlimennya terhadap Muhyiddin.

Kaum Dayak membentuk 40% daripada jumlah pengundi Sarawak.

“Ingatlah bahawa pengundi Dayak mungkin membuat pusingan U yang besar pada PRN akan datang,” kata Jaban kepada FMT.

“Sekarang semua pengundi Dayak yang menyokong GPS (pada PRN lepas) sangat kecewa kerana mereka menaruh kepercayaan yang tinggi kepada gabungan itu.”

Pada Selasa, petisyen yang menyeru Ahli Parlimen GPS beragama Kristian agar menolak sebarang kerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan seterusnya memperoleh lebih 23,400 tandatangan. Sehingga semalam, jumlah itu telah meningkat kepada lebih 36,800.

Petisyen itu dilancarkan selepas ADUN Sarawak Baru Bian menggesa GPS menolak sebarang pakatan dengan PN dan parti komponennya, PAS.

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin tentang cubaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkristiankan Malaysia, yang menurut presiden Bersatu itu, telah diambil di luar konteks oleh pesaing PN untuk memburukkan imejnya.

Baru juga berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, tokoh nombor dua PN, telah menunjukkan dirinya sebagai “pentaksub agama dan perkauman” apabila menuduh golongn bukan Islam sebagai punca rasuah.

Penganalisis James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, keputusan GPS untuk menyokong PN tidak seharusnya mengejutkan.’

“Rakyat lupa bahawa GPS telah menjadi sebahagian daripada kumpulan teras yang menyokong kerajaan PN sejak 2020,” katanya sambil menambah, gabungan Sarawak itu telah menerima banyak konsesi daripada PN.

Beliau tidak bersetuju dengan Jaban, dengan berkata pengundi Dayak mungkin akan melupakan kemarahan mereka berhubung sokongan GPS terhadap PN menjelang PRN akan datang.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pengundi Dayak mungkin merungut sekarang tetapi “apa yang akhirnya paling penting dalam pilihan raya ialah keupayaan calon untuk menyampaikan sesuatu yang material”.

“Sebagai contoh, orang Kadazan sebelum ini beberapa minggu merungut mengenai PAS masuk ke Sabah. Tetapi (sentimen) itu tidak kekal dan mereka dengan senang hati mengundi Gabungan Rakyat Sabah, yang merupakan cabang PN.”

Tiada ulasan: