"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwaan salah guna kuasa beli vaksin Covid-19 – Kerajaan didesak tubuh RCI

FAZLI RADZI

Kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa pembelian vaksin Covid-19 yang dikatakan didalangi tampuk kepemimpinan pentadbiran terdahulu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai berhubung isu perbelanjaan pengurusan Covid-19 yang dikatakan membabitkan puluhan bilion ringgit.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu terbabit akan diketengahkan supaya mendapat perhatian pihak berwajib terutama Perdana Menteri.

“Kami tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi kerana ia suatu perkara yang tidak masuk akal. Kami nak bawa perkara ini secara rasmi.

“Aduan diterima mempunyai fakta yang patut dikaji dan perlu disiasat secara serius kerana ia membabitkan jumlah perbelanjaan yang sangat besar.

“Negara bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita…apa pemimpin buat sehingga ada dakwaan salah laku seperti ini.

“Kami harap rakyat Malaysia juga dapat bersama dalam usaha ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Julai tahun lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika itu berkata, perbelanjaan dan perjanjian yang dilaksanakan dalam perolehan vaksin dan pelaksanaan pelalian akan terus dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Jelasnya, langkah itu bagi menjamin ketelusan dan keterbukaan program vaksinasi yang membabitkan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM5.8 bilion.

Tiada ulasan: