"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bentuk kerajaan minoriti jika masih buntu?

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia berisiko menjadi kerajaan minoriti jika blok parti sedia ada gagal mewujudkan gabungan bagi membentuk kerajaan.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata, ketika ini kerajaan gabungan adalah cara terbaik mewujudkan kerajaan kerana tidak timbul isu di mana Ahli Parlimen secara individu menyokong blok parti lain.

Bagaimanapun katanya, jika ia tidak berlaku maka pada dasarnya tidak wujud kerajaan majoriti.

"Cuma dalam konteks ini adakah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan melantik seorang Perdana Menteri untuk mewujudkan satu kerajaan minoriti.

"Ini kerana kerajaan minoriti sebenarnya tidak teguh kerana ia perlu mengharapkan sokongan daripada parti lain sebagai contoh dalam isu Bajet atau untuk meluluskan sebarang Rang Undang-Undang.

"Ini risikonya dan ia akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan nanti," katanya tadi.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal berkata, terdapat alternatif lain dan dengan keadaan sekarang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) cuba mendapatkan sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, difahamkan ketika ini PN sudah mendapat majoriti lebih 112 Ahli Parlimen manakala PH juga sedang berusaha mendapat sokongan daripada BN.

"Jika PN memang sudah ada majoriti dengan surat akuan (SD) yang mencukupi, saya pasti akan dapat buat kesimpulan Yang di-Pertuan Agong akan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kerana apa yang difikirkan Yang di-Pertuan Agong adalah siapa yang dapat jumlah majoriti dan majoriti ini dalam konteks Ahli Parlimen bukan dalam konteks kerajaan campuran berdasarkan blok politik.

"Namun pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong akan melihat berapa banyak sokongan di Blok PH dan Blok PN," katanya.

Beliau berkata, jika PN memaklumkan sudah cukup SD diperoleh, pasti Yang di-Pertuan Agong mahu melihat (bukti) SD ditandatangani Ahli Parlimen. Adakah ia cukup atau lebih 112.

"Terdapat kemungkinan (wujudnya) kerajaan minoriti jika Yang di-Pertuan Agong tidak berpuas hati dengan jumlah dipersembahkan.

"Jika baginda titah jumlah sokongan tidak mencukupi, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik calon dari parti yang memiliki sokongan paling banyak.

"Jika PH ada 82 kerusi paling banyak, baginda boleh tubuhkan kerajaan monoriti berdasarkan Perdana Menteri dari PH.

"Tetapi saya pasti Yang di-Pertuan Agong akan ambil kira kerajaan monoriti yang tidak stabil. Sebab itu baginda ada alternatif lain iaitu apa yang pernah baginda lakukan pada Februari 2020 dan 2021 dengan memanggil setiap Ahli Parlimen menghadap dan serahkan SD melalui Speaker Dewan Rakyat.

"Jadi dari situ baginda dapat lihat berapa banyak angka Ahli Parlimen yang menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

"Ini sekali gus dapat mengelakkan Ahli Parlimen bergantung pada parti yang mereka anggotai sekarang," katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, ia bersesuaian mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang di-Pertuan Agong memilih seorang Perdana Menteri dari seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat tidak dikatakan blok politik tetapi individu.

Dalam konteks itu katanya, individu yang menentukan seseorang yang dicadangkan sebagai Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti.

Tiada ulasan: