"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar perlu diberi peluang bentuk kerajaan, tidak perlu SD Ahli Parlimen

FAIZ FADZIL

Selepas PRU-15, berlaku situasi kali pertama di dalam negara iaitu Parlimen tergantung. Ini bermaksud tidak ada mana-mana blok parti politik memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Maka, untuk memastikan kerajaan terbentuk, parti-parti politik perlu bergabung untuk memastikan cukup majoriti yang diperlukan di Dewan Rakyat menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut convention Westminster, parti yang memperoleh kerusi terbanyak dan terbesar perlu diberi peluang terlebih dahulu untuk membentuk kerajaan.

Ini kerana blok parti ini mendapat sokongan terbanyak melalui jumlah kerusi malah mempunyai jumlah undi popular yang terbanyak.

Dalam PRU-15, PH selaku blok politik terbesar mempunyai 82 kerusi. Dalam aspek undi popular pula, PH mendapat 5,823,931 juta undi atau 37.97% iaitu jumlah undi terbesar dalam blok politik parti yang bertanding. PN pula hanya mendapat 4,667,429 undi atau 30.24% dan BN mendapat 3,433,369 undi atau 22.42%.

Berdasarkan asas ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan peluang untuk membentuk kerajaan selaku pemimpin utama daripada blok parti politik yang memenangi jumlah kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat.

Jumlah kerusi dan peratusan undi rakyat telah dimanifestasikan bahawa Anwar Ibrahim adalah pilihan rakyat Malaysia sebagai PM ke-10. Apatah lagi, PH telah mencadangkan nama Anwar Ibrahim sebagai PM sepanjang kempen PRU-15 ini.

Pelantikan Anwar Ibrahim juga bertepatan dengan asas sistem demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia malah di kebanyakan negara lain di dunia bahawa parti yang memperoleh kerusi dan undi majoriti perlu dipilih sebagai PM.

Episod hitam Langkah Sheraton tidak boleh berulang lagi. Pelantikan Anwar Ibrahim juga adalah bertepatan dengan semangat Undang-undang Anti Lompat Parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghalang Ahli Parlimen bertindak sendirian dalam soal memilih PM dan menyerahkannya kepada ketua parti. Oleh itu, SD setiap Ahli Parlimen tidak lagi diperlukan.

Ini bermaksud, pencalonan PM oleh ketua parti (secara blok) adalah memadai bagi menunjukkan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen kepada Anwar Ibrahim.

Inilah yang berlaku ketika mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai PM dan pelantikan MB Perak pada hari ini.

Kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam memutuskan perkara ini amat diharapkan oleh jutaan rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang stabil, bersih dan adil.

Tiada ulasan: