"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid mengaku serah surat sokong Anwar, MCA mahu Mohamad Hasan ganti pengerusi BN

FMT Reporters

PETALING JAYA: MCA mahu Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan, menggantikan Pengerusi Zahid Hamidi, selepas presiden Umno itu mengaku menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang mendakwa gabungan itu menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, MCA percaya Zahid tidak lagi layak memimpin BN dan perlu meletak jawatan pengerusi, kerana dakwaan dalam surat Zahid itu menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN.

Katanya dalam kenyataan, dua mesyuarat dewan itu pada 22 November memutuskan BN tidak akan menyokong mana-mana Ahli Parlimen sebagai perdana menteri, pada ketika ini.

“Dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam, MCA dan parti komponen BN lain menyoal kenapa Zahid tidak ikut ketetapan BN. Zahid pada mulanya menafikan, tetapi kemudian mengaku selepas ditunjukkan bukti.”

“Zahid tidak ikut keputusan bersama Dewan Tertinggi BN semalam, dan tidak menyampaikan dengan tepat ketetapan BN kepada Agong.”

Sementara itu, Presiden MIC, SA Vigneswaran, berkata Zahid menghantar surat menyokong Anwar kepada Istana Negara selepas 10 Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, menurut Malaysiakini.

Tiada ulasan: