"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH, BN boleh jadi kunci perubahan di Putrajaya dan Sabah

Zikri Kamarulzaman

Gabungan Pakatan Harapan-BN mungkin bukan sahaja menjadi kunci untuk membentuk kerajaan persekutuan, tetapi juga boleh menyaksikan perubahan di Sabah - jika Warisan menyertai mereka.

Dengan 82 kerusi, Pengerusi PH Anwar Ibrahim boleh memperoleh 112 kerusi - cukup untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat - jika dia boleh mendapat sekurang-kurangnya 26 ahli parlimen daripada BN, tiga ahli parlimen Warisan dan Presiden PBM Larry Sng.

BN sudah pun mempertimbangkan tawaran PH dan Sng, yang juga ahli parlimen Julau, turut dilihat bertegur sapa dengan pemimpin PH dan BN di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur awal hari ini.

Bagaimanapun, tanpa Warisan Anwar tidak dapat memenuhi sasarannya dan parti dari Sabah itu masih tidak menyatakan secara terbuka siapa yang mereka akan sokong.

Sebaliknya, pemimpin Warisan hanya berkata mereka akan menyokong kerajaan untuk kestabilan dan demi menyatukan negara.

Namun, kerjasama akan memberi manfaat kepada ketiga-tiga pihak.

Bagi PH, Anwar akhirnya akan menjadi perdana menteri.

Untuk BN, kerjasama ini akan menjadi talian hayat politik kerana bergabung dengan Perikatan Nasional akan menyaksikan peranan Umno lebih kecil, manakala MCA dan MIC tidak dapat menarik sokongan orang bukan Melayu.

Sementara itu, bagi Warisan pula kerjasama ini akan membuka peluang untuk membentuk kerajaan Sabah sekali lagi sebelum pilihan raya negeri akan datang pada 2025.

Warisan kini mempunyai 19 Adun manakala PH mempunyai 7 Adun di Sabah. Gabungan mereka kekurangan 14 kerusi daripada majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Di sinilah BN masuk dalam kira-kira. Walaupun sudah berkuasa, ia perkongsian yang tidak selesa dengan GRS yang diterajui Bersatu.

Demi untuk berkuasa, BN Sabah dan Umno terpaksa berkompromi dengan Bersatu. Ini tidak perlu dilakukan oleh rakan BN dan Umno di semenanjung dalam kerjasama mereka dengan Bersatu.

Bagaimanapun, BN Sabah boleh menjatuhkan GRS dengan mudah apabila berlaku penjajaran semula sokongan 14 Adun mereka dengan Warisan dan PH untuk mengumpulkan sejumlah 40 kerusi.

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin - yang juga timbalan ketua menteri - menggambarkan kemungkinan dia bersedia untuk mempertimbangkan prospek ini.

Dilaporkan The Vibes hari ini, dia marah kepada GRS kerana menyokong Muhyiddin Yassin daripada PN sebagai perdana menteri, mendakwa ia melanggar pakatan pilihan raya mereka.

Bung telahpun menyuarakan rasa tidak senang semasa pilihan raya apabila anak seorang pemimpin Bersatu Sabah bertanding menentang BN di Tenom - dan akhirnya menang.

Merundingkan perjanjian perkongsian kuasa antara Warisan dan BN adalah sukar, tetapi bukan mustahil.

PH sudah pun mengambil langkah pertama dalam merapatkan jurang politik apabila menyokong BN membentuk kerajaan negeri Perak, walaupun mempunyai lebih banyak kerusi.

Jika pakatan PH-BN-Warisan menjadi kenyataan, GPS Sarawak juga mungkin meninggalkan PN untuk bersama gabungan parti pemerintah di Putrajaya.

Sokongan GPS terhadap PN sudah goyah, dengan presiden PDP Tiong King Sing berkata mereka akan menunggu penjajaran kuasa di semenanjung diselesaikan terlebih dahulu sebelum gabungan Sarawak membuat "keputusan muktamad".

Tiada ulasan: