"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hishammuddin: BN adakan dua mesyuarat berasingan malam ini

Muhammad Yusri Muzamir

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) dijadual mengadakan dua mesyuarat berasingan dipercayai bagi memuktamadkan sokongan kepada gabungan parti politik yang mungkin membentuk Kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua mesyuarat itu, masing-masing mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan mesyuarat bersama Ahli Parlimen gabungan berkenaan dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Umno dekat Menara Dato Onn di sini, pada 9 malam ini.

Perkara itu disahkan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tiba di bangunan berkenaan pada 8.25 malam tadi.

Bercakap kepada pemberita, beliau bagaimanapun menjelaskan belum memuktamadkan sebarang ketetapan berhubung perkara berkenaan, selain memaklumkan perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh, malam ini.

"Nanti kita tunggu selepas meeting (mesyuarat) malam ini. Terlalu awal untuk saya menyatakan sebarang pendirian.

"Dua meeting itu saya boleh sahkan, satu (Dewan Tertinggi) BN dan satu lagi (bersama) wakil rakyat," katanya.

Ditanya sama ada akan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10, beliau menjelaskan, sebarang ketetapan itu perlu dibuat berdasarkan keputusan dicapai gabungan berkenaan secara kolektif.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Ramli Mohd Nor dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup dilihat tiba di Ibu Pejabat Umno bagi menyertai mesyuarat berkenaan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN mengadap baginda di Istana Negara, jam 10.30 pagi esok.

Semua Ahli Parlimen BN itu dititahkan mengadap Agong secara berasingan bagi menyatakan sokongan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: