"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Perak: Tiada perjanjian hak milik tanah 999 tahun dengan PH

Bernama

IPOH: Tuntutan mengenai hak milik tanah 999 tahun untuk kampung baru di Perak tidak berbangkit dalam syarat pembentukan kerajaan perpaduan di negeri itu, menurut Menteri Besarnya, Saarani Mohamad.

“Tiada. Tidak pernah ada apa-apa tuntutan itu berlaku,” katanya selepas mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Beliau mengulas maklumat tular di WhatsApp yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) bersetuju menerima syarat Barisan Nasional (BN) untuk diberikan jawatan menteri besar, speaker dan tiga exco, jika PH menggugurkan tuntutan hak milik tanah itu.

Saarani berkata, kerajaan negeri berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Kanun Tanah Negara 1965 dalam perkara berkenaan.

Mengenai kenyataan Pengerusi PH Perak, Mujahid Yusof Rawa bahawa wujud perjanjian BN dan PH bagi membentuk kerajaan negeri, Saarani berkata, ia berkaitan agihan peranan.

PH dan BN bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan negeri, selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada pilihan raya umum ke-15 Sabtu lepas, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi.

Sementara itu, Saarani berkata, kesepakatan antara BN dengan PH memudahkan pembentukan kerajaan Perak berbanding di peringkat kerajaan persekutuan.

“Apabila sudah dimuktamadkan, kita fokus untuk bangunkan negeri dan tidak boleh ditangguhkan. Kita terus dengan mesyuarat exco pertama. Kita kena jalan terus.

“Berbeza di pusat, ada beberapa parti lain seperti Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi di Perak, kita ada BN, PH dan PN. Jadi, dengan mudah kita boleh buat keputusan,” katanya.

Tiada ulasan: