"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Prestasi PN buat kerusi Melayu PH di Pulau Pinang berisiko

Dineskumar Ragu

GEORGE TOWN: Prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu meletakkan gabungan itu dalam kedudukan kukuh untuk merampas kerusi majoriti Melayu Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, menurut dua penganalisis.

Azmil Tayeb dan Azeem Fazwan Ahmad Farouk yang kedua-duanya dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kerusi DUN Pinang Tunggal, Penanti, Sungai Bakap, Pulau Betong, Telok Ayer Tawar, Bayan Lepas dan Permatang Pasir sangat berisiko.

PRN akan diadakan tahun depan.

PN membuat kejutan pada PRU15 apabila ia merampas kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas dan menewaskan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di kerusi tradisi keluarganya di Permatang Pauh.

Azmil berkata, PH mesti menangkis wacana di media sosial, khususnya TikTok, kerana ia adalah platform pilihan anak muda Melayu.

“Undi Melayu telah banyak memihak kepada PN, terutamanya di kawasan separa luar bandar dan luar bandar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kemenangan PN di kerusi campuran seperti Kulim-Bandar Baharu dan Alor Setar juga bermakna sukar bagi PH untuk merampas kerusi campuran di Pulau Pinang, termasuk Seberang Jaya dan Sungai Acheh, daripada komponen PN, Bersatu.

PH memenangi kerusi Seberang Jaya dan Sungai Acheh pada PRU14 tetapi kehilangan kerusi itu akibat pembelotan. PH kini menguasai 33 kerusi daripada keseluruhan 40 kerusi DUN. PN memiliki lima kerusi manakala BN, dua.

Azeem Fazwan berkata, kekuatan PN pada PRU15 mungkin dapat dilihat di peringkat negeri.

“Pengundi Melayu telah banyak mengundi PN,” katanya.

Tiada ulasan: