"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jaga muafakat, adab bila buat kenyataan - Zambry

Malaysiakini

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir menggesa pemimpin parti komponen BN agar berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menyelesaikan sebarang isu.

Ia susulan kenyataan oleh Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon semalam yang menggesa Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN.

Terdapat juga dakwaan bahawa kepimpinan MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah menulis kepada Zambry berkenaan desakan itu.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat menentukan secara bebas kesahihan surat tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Zambry tanpa menamakan mana-mana pihak secara khusus berkata Dewan Tertinggi BN akan menimbang dan memuktamadkan sebarang cadangan dan usul yang dikemukakan menurut peraturan dan perlembagaan gabungan itu.

"Pihak ibu pejabat menasihati semua pihak untuk terus memelihara solidariti dan semangat muafakat yang telah lama terbina dalam BN bagi memastikan kesejahteraan dan kerukunan serta toleransi di kalangan parti anggota dan parti bergabung BN.

"BN berpegang kepada prinsip saling menghormati dalam menangani sebarang isu dihadapi. Justeru, adab, dalam menyatakan dan mengeluarkan sebarang kenyataan hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya agar tidak menimbulkan salah faham.

"Ini termasuklah hal-hal yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN," katanya lagi.

Chong sebelum ini secara terbuka menyuarakan hasrat MCA agar Zahid letak jawatan susulan surat yang dihantar presiden Umno itu kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 22 Nov.

Dalam surat itu, Zahid menyatakan kesemua 30 ahli parlimen BN menyokong Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Pendirian rasmi BN pada asalnya adalah kekal tidak menyokong mana-mana pihak.

Namun, Umno semalam memutuskan gabungan itu perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Istana Negara.

Setakat ini tidak jelas bila mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang seterusnya.

Tiada ulasan: