"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Dah semak, memang jelas MB Kelantan merujuk ADUN PH-BN’

HarapanDaily.com

“Selepas beberapa kali disemak, memang jelas apa yang disebutnya (Menteri Besar Kelantan) merujuk kepada Dr Hafidzah Mustakim dan Mohd Syahbuddin Hashim”.

Itu penegasan Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Rantau Panjang, Mohd Ridzuan Muhamad selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Beliau antara kira-kira 20 penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Rantau Panjang yang hadir bagi menyokong tindakan membuat laporan polis ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada 18 Ogos lalu ketika menyampaikan kuliah agama di Medan Ilmu, Kota Bharu melabel dua calon BN-PH yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.

Ucapan ADUN Meranti yang baru beberapa hari dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 itu tular sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan penyokong PN dan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, laporan polis itu juga dibuat bagi menggesa Nassuruddin membuat permohonan maaf atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

Jelasnya, apa yang dilontarkan Nassuruddin melalui ucapannya itu bukan saja boleh memecahkan perpaduan umat Islam.

Malah, katanya, menunjukkan dua calon PH dan BN masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dan Galas seakan-akan melawan perjuangan Islam.

“Semalam, Mohd Nassuruddin melalui kenyataan media memberitahu enggan meminta maaf, selain mahu kami menyemak semula rakaman rekod ucapannya.

“Namun, selepas beberapa kali disemak, memang jelas apa yang disebutnya merujuk kepada Dr Hafidzah Mustakim dan Mohd Syahbuddin Hashim.

“Laporan polis ini juga supaya pihak berkuasa dapat membuat siasatan lanjut berkaitan kenyataan terbabit. Kita boleh berbeza pilihan politik, namun tidak boleh menolak perjuangan Islam,” katanya.

Kenyataan Nassuruddin, jelasnya menunjukkan seolah-olah hanya Pas yang mementingkan Islam, sedangkan parti lain juga di bawah Kerajaan Perpaduan mempunyai misi sama, selain dua individu yang dituduh sendiri juga beragama Islam.

Tiada ulasan: