Shahbudin Husin
Entah sudah kali yang ke berapa, kini sekali lagi muncul perkhabaran kononnya ada sejumlah Ahli Parlimen BN akan meletakkan jawatan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Kali ini dikatakan ada seramai tujuh Ahli Parlimen BN akan berbuat demikian.
Diberitakan mereka akan meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan dan selepas Ahli-Ahli Parlimen berkenaan menang semula, mereka akan segera bekerjasama dengan PN untuk mengerakkan pertukaran kerajaan.
Walaupun tidak disebut identiti siapa tujuh Ahli Parlimen itu, mereka terbabit difahamkan ialah empat dari Johor dan masing-masing satu dari Pahang, Sabah dan sebuah negeri di sebelah utara.
Memandangkan jumlah Ahli Parlimen BN hanya ada 30 – 26 UMNO, 2 MCA dan masing-masing 1 daipada MIC dan PBRS, barangkali tidaklah terlalu sukar meneka-neka siapa tujuh Ahli Parlimen berkenaan.
Sebagai respon awal kepada perkara itu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengatakannya semuanya hanya khabar angin semata-mata.
Kenyataan Zahid Hamidi itu boleh dikata hampir 100 peratus adalah benar.
Asas paling kukuh untuk menyokong kebenaran kata-kata Zahid Hamidi itu adalah kerana mereka tidak mungkin berani untuk berbuat demikian.
Ahli-Ahi Parlimen berkenaan bukan saja masih sayang dengan status Ahli Parlimen masing-masing, malah mereka juga takut kalah jika bertanding semula.
Selama ini hidup mati mereka dalam perjuangan adalah dengan menumpang nama UMNO, bukan atas kekuatan peribadi yang dimiliki.
Kemungkinan mereka mampu menang semula jika bertanding atas tiket parti lain adalah perkara yang sukar untuk dijangka.
Selebihnya pula, kalau diperhalusi identiti palling mungkin siapa tujuh Ahli Parlimen terbabit, tiada seorang pun daripada mereka itu didapati memiliki hati yang keras, tegas, berani mengambil risiko dan punya rekod melawan yang boleh dibanggakan.
Tak pasti dengan tujuan apa perkara ini diheboh-hebohkan kembali, mungkin ada maksud tersirat yang berbagai di sebaliknya.
Yang penting, diharapkan pimpinan kerajaan perpaduan tidak terganggu dengan khabar angin ini.
Tenang-tenang saja dengan perkhabaran berulang-ulang ini.
Mereka perlu lebih menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk memperbaiki lagi khidmat kepada rakyat kerana cabaran politik yang sebenar selepas ini ialah PRU16 yang akan berlangsung kira-kira empat tahun lagi.
PN juga sebaik-baiknya tidak usah terpedaya dan memasang angan-angan lagi mahu menjatuhkan kerajaan di pertengahan penggal atau melalui tebuk atap sebagaimana dilakukan pada 2020 lalu.
Sebaik berakhirnya PRN, banyak kerja harus mereka lakukan untuk memberi cabaran yang sebenar kepada PH/BN dan kerajaan perpaduan dalam PRU16 akan datang.
Lupakan sajalah cerita-cerita mahu menjadi kerajaan dengan cara bukan melalui pilihanraya.
Dalam apa juga perkara yang diimpikan, ia terlalu sukar menjadi kenyataan kalau tanpa disertai dengan keberanian. – ShahbudinHusin 22/08/2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan