Shahbudin Husin
Di sebalik keputusan PRN yang memperlihatkan PN, khususnya Pas berjaya memperoleh majoriti undi Melayu, dalam masa yang sama ia juga adalah berita pedih buat Tun Mahathir Mohamad yang memperjuangkan Proklamasi Orang Melayu (POM).
Tanpa kelompok itu terlibat dalam kempen, cubaan meletakkan 17 nama sebagai calon tidak diendahkan, tiada mana-mana pemimpinnya, termasuk Tun Mahathir yang turun padang berkempen.
Malah POM tidak pun menjadi sebutan sesiapa yang bertanding, hakikatnya PN tetap berjaya meletakkan dirinya sebagai pencabar unggul kepada PH/BN.
Lalu, ke mana perjuangan POM selepas ini?
Kalau diteliti, perjuangan POM ini digerakkan hanya setelah Tun Mahathir yang sebelumnya bersama Pejuang dan GTA, kalah dengan parah pada PRU15 lalu.
Untuk itu, sekurang-kurangnya ada dua tujuan POM itu digerakkan:
Pertama, untuk menekan dan menjatuhkan Anwar Ibrahim yang memang merupakan musuh Tun Mahathir dan telah berkali-kali cuba dihalangnya daripada menjadi Perdana Menteri.
Kedua, untuk memperlihatkan Tun Mahathir masih relevan dalam politik negara serta menjadikan dirinya ada tiket untuk bersama-sama dengan PN yang merupakan satu-satunya blok pembangkang yang ada dalam negara ini.
Berdasatkan keputusan PRU15 di mana semua calon Pejuang hilang deposit, Tun Mahathir sedar beliau tidak boleh lagi berjuang melalui blok ketiga, terutama dalam usahanya yang tidak pernah terhenti mahu menjatuhkan Anwar.
Namun, untuk beliau terus bersama PN, tentu ada sedikit rasa malu dalam dirinya berikutan perbalahannya dengan Mahiaddin Md Yasin pada 2020 lalu selepas berlakunya peristiwa Langkah Sheraton.
Setidak-tidaknya, dengan menggagaskan POM, rasa malu untuk kembali bertaut dengan Mahiaddin yang pernah memecatnya daripada Bersatu itu dapatlah dilindungi, kononnya demi untuk membela nasib orang-orang Melayu.
Itulah yang terjadi di mana setelah sedikit sebanyak menggerakkan POM dengan pelbagai aktiviti, Tun Mahathir akhirnya membuka mulut dan menyatakan sedia bekerjasama dengan Mahiaddin.
Kedua-dua mereka telah bertemu sebelum PRN lalu.
Pun begitu, berikutan Mahiaddin kekal sejuk dan tidak menunjukkan jiwa sepenuh hati dalam pertemuan itu, begitu juga dengan Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN/Bersatu, turut tidak berlebih-lebihan dalam memberi respon kepada POM dan Tun Mahathir, sudahnya tiada apa-apa jalinan kerjasama yang berjaya terbina.
Sebelum penamaan calon, seorang utusan POM telah datang menemui Hamzah dengan membawa 17 nama bagi dipertimbangkan sebagai calon PRN atas tiket PN. Malangnya, tiada satu pun nama yang dihantar itu diberi pertimbangan oleh PN.
Maka itu, walaupun sebelum ini POM agak riuh rendah dengan pelbagai program dan mengeluarkan kenyataan atas banyak isu, disebabkan tidak berjaya menumpang sebagai calon atas nama PN itu, mereka akhirnya senyap sunyi dan langsung tidak berbunyi sepanjang tempoh kempen PRN diadakan.
Pendek kata, dengan tidak ada wakil POM menjadi calon, seterusnya tidak turun membantu berkempen dan POM juga tidak disebut sepanjang kempen, gagasan perjuangan Tun Mahathir itu pada hakikatnya telah dilupakan terus ketika kempen PRN lalu.
Ertinya, walaupun PN berjaya memenangi majoriti undi Melayu dan menawan sebahagian besar kawasan Melayu, ia bukanlah disebabkan oleh POM.
Jauh sekali ada cop jari dan peranan daripada Tun Mahathir atas kejayaan PN itu.
Sekali lagi, ke mana POM selepas ini, terutama Tun Mahathir tentunya belum padam lagi ghairahnya daripada mahu menjatuhkan Anwar?
Apakah sebagai pilihan akhir setelah tiada lagi pilihan, Tun Mahathir akhirnya akan menyertai Pas?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan