Malaysiakini
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan suasana pilihan raya ketika ini lebih rumit berbanding kebiasaan kerana berlakunya perbuatan menyebarkan kebencian dan prasangka yang berterusan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata keadaan tersebut menyebabkan Kerajaan Perpaduan terpaksa bertarung dengan ancaman fitnah dan asakan polemik yang boleh mengganggu-gugat hak serta keselamatan orang Melayu.
“Kita kini bertarung dengan fitnah. Pertarungan ini lebih rumit kerana ada hasutan serta mencungkil naluri batin dan bukannya berdasarkan pertimbangan rasional,” katanya semasa berucap pada sesi perjumpaan bersama jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan di Iskandar Puteri hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin tertinggi PH-BN Johor serta jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata dalam tempoh lapan bulan mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan berjaya mengangkat martabat Malaysia dan menangani pelbagai isu termasuk kemiskinan, tatakelola serta memulihkan kembali ekonomi negara.
Beliau juga berkata gandingan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan menjadi satu-satunya gabungan yang mampu menyelamatkan Malaysia.
Anwar berkata aspek progresif yang didukung PH digabungkan dengan pengalaman BN dalam mentadbir negara adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan tempoh pemerintahan Perikatan Nasional sebelum ini.
“Dengan pengalaman rakan-rakan BN dan aspek progresif PH, bagi saya gabungan ini adalah satu-satunya wadah dan wahana untuk selamatkan Malaysia ketika ini,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 500 jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 9 Sept depan sebagai pengundian bagi kedua-dua kerusi itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan