WAN SITI AMINAH
Pelakon Bollywood lagenda, Shah Rukh Khan kembali menyita perhatian orang ramai setelah membuat satu pendedahan yang mengejutkan.
Siapa sangka, selebriti yang telah dinobatkan sebagai pelakon terkaya di Asia itu rupa-rupanya memiliki sebidang tanah yang terletak di Bulan.
Langsung tidak mengeluarkan belanja, tanah tersebut diterima Shah Rukh Khan secara percuma sebagai hadiah hari jadi daripada seorang peminat wanita.
Shah Rukh Khan memaklumkan bahawa pemilikan itu disahkan dengan sijil atau ‘geran tanah’ yang diterimanya daripada Persatuan Republik Lunar.
Menurut Shah Rukh Khan, hadiah mengagumkan itu mula diberikan kepadanya pada tahun 2002 bersempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-37.
Memetik laporan India Today, pendaftaran Lunar Registry menunjukkan bahawa tanah di Bulan milik Shah Rukh Khan itu berada di kawasan yang dinamakan Laut Ketenangan.
“Seorang wanita warganegara Australia telah membelikan sebidang tanah di Bulan pada setiap tahun sempena hari ulang tahun kelahiran saya.
“Saya juga menerima sijil daripada Persatuan Republik Lunar. Saya berasa bertuah kerana mendapat kasih sayang ramai orang di seluruh dunia,” katanya.
Peminat yang mahu dikenali sebagai Sandi kemudian mengakui bahawa tanah tersebut dibelinya kerana minatnya terhadap pelakon berusia 57 tahun itu.
Jelas Sandi, alasannya membeli tanah tersebut adalah kerana dia mahu melihat pelakon kegemarannya itu menjadi hero Hindi pertama yang berada di Bulan.
“Saya mahu dia menjadi wira filem Hindi pertama di Bulan! Saya mahu dia menjadi yang pertama dalam segala-galanya.” Akui Sandi.
Pendedahan yang dibuat Shah Rukh Khan itu kembali tular selepas negara kelahirannya iaitu India berjaya mendaratkan kapal angkasa Chandrayaan-3 di Bulan.
Kejayaan tersebut difahamkan telah berjaya menempa nama India sebagai negara keempat di dunia yang berjaya mendaratkan kapal di Bulan.
Sedangkan sebelum ini, hanya negara Amerika Syarikat, China dan bekas Kesatuan Soviet sahaja yang berjaya melakukan pendaratan kapal di lokasi tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan