Shahbudin Husin
Cerita dan cita-cita pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sepertinya masih bagai sebuah hikayat yang belum ada titik penamat.
Pantang ada kesempatan dan terbuka peluang, itulah yang sentiasa ingin mereka lakukan.
Meski PRN sudah berakhir dan mereka terbukti gagal untuk menjadikan keputusan pilihan raya itu sebagai pemangkin untuk menjatuhkan kerajaan. Tiga PRK yang menyusul pula nampaknya cuba digunakan untuk maksud yang sama.
Tiga PRK berkenaan ialah Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai.
Presiden Pas terus ‘meratib’ kononnya PN masih boleh menukar Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.
Melihat bagaimana mereka bercakap untuk menghadapi PRK itu, khususnya Pulai dan Simpang Jeram yang hari penamaan calonnya adalah Sabtu, 26 Ogos ini, PN dilihat tetap mahu menjadikannya sebagai isyarat penolakan rakyat terhadap kerajaan dan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.
Dalam beberapa video ceramah PRK itu yang tersebar di media sosial, PN dengan jelas sudah mula membakar perasaan pengundi di kedua-dua PRK itu untuk tidak mengundi parti yang mewakili kerajaan.
Mesejnya, walaupun diketahui keputusannya nanti tidak mampu mengubah kerajaan, tidak lain ialah sebagai isyarat kerajaan sedia ditolak rakyat.
Untuk apa isyarat itu mahu ditunjukkan?
Kalau ikut logik, setelah PRN enam negeri berakhir yang memperlihatkan kedudukan Anwar tidak tergugat hasil daripada keputussnnya, mereka sepatutnya berlapang dada dan menunggu PRU16 akan datang saja jika ingin bercakap semula tentang hasrat menukar kerajaan.
Ini tidak, masih lagi tak habis-habis nak menjatuhkan kerajaan.
Begitu juga dengan PRK Pelangai yang akan diadakan selepas Pulai dan Simpang Jeram nanti, oleh kerana di situ nanti UMNO yang akan bertanding, sekali lagi ia mahu digunakan sebagai medan untuk menunjukkan oang Melayu tidak menyokong parti itu.
Seharusnya, PN dalam hal ini mesti menunjukkan jiwa besar dan bersama-sama dengan kerajaan membina semula negara ini, khususnya dalam hal berkaitan pemulihan ekonomi dan memberi kesejahteraaan kepada rakyat.
PRK yang diadakan hanyalah sekadar untuk mengisi kedudukan wakil rakyat yang kosong berikutan berlakunya kematian penyandang sebelumnya. Ia tidak lebih daripada itu.
Pun begitu, untuk menutup cerita-cerita menukar kerajaan ini daripada terus dimainkan dan PN terus ghairah untuk menebuk atap sekali lagi, pengundi di tiga PRK yang bakal tiba ini boleh memainkan peranan mereka.
Caranya ialah dengan memastikan parti yang mewakili kerajaan terus diberi kemenangan sebagaimana keputusan yang dicapai sebelum ini.
Hanya dengan cara itu saja yang boleh membuatkan mereka sedar dan tidak lagi bercakap soal untuk menukar kerajaan dengan ghairahnya.
Ayuh, pengundi Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai – buktikanlah bahawa membina masa depan negara bersama kerajaan sedia ada adalah pilihan sebenar yang diingini berbanding memenuhi cita-cita ahli politik yang sentiasa kemaruk terhadap kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan