Malaysiakini
Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menganggap tindakan pihak tertentu mengaitkan mereka dengan sebarang usaha menentang usaha pemerkasaan Islam sebagai berniat jahat.
Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin, berkata pertubuhan itu didakwa terlibat dengan gerakan tersebut selepas gambar Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, kononnya bergambar bersama seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.
Menurutnya, gambar tersebut juga ditularkan melalui kumpulan dalam aplikasi WhatsApp.
“Ikram ingin menegaskan bahawa tuduhan ini adalah fitnah semata-mata, tidak berasas dan berniat jahat.
“Pertama, individu yang ditunjukkan dalam foto tersebut bukan Adun Kota Lama (Hafidzah).
"Kedua, Ikram tidak terlibat dalam mana-mana dasar atau pemahaman yang dibawa oleh individu yang bernama Nik Elin atau mana-mana kumpulan yang sealiran pemikiran dengannya sepertimana yang dikaitkan dalam tuduhan tersebut," katanya.
Nik Elin Zurina sebelum ini memfailkan petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai usahanya mendapatkan pengisytiharan bahawa 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.
Kes tersebut kini di peringkat perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 17 Ogos lalu Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat juga menegaskan petisyen yang dikemukakan itu tidak ada kena mengena dengan doktrin Islam.
Sebaliknya kata Tengku Maimun petisyen berkenaan hanya membabitkan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Badlishah berkata sebarang tuduhan yang membabitkan Ikram dan kes tersebut perlu ditarik balik, manakala sebaran fitnah mengenainya mesti segera dihentikan.
Katanya Ikram tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang membuat tuduhan seumpama itu kerana ia mencemarkan nama baik pertubuhan dan ahli-ahlinya.
"Ikram sentiasa komited dalam sebarang usaha memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan serta menganjurkan pendekatan Islam wasatiy (sederhana) yang menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.
"Ikram juga menolak segala bentuk amalan fitnah, amalan mengkafirkan sesama orang Islam, menggunakan kata-kata kesat, dan sebarang bentuk ekstremisme dan radikalisme yang merosakkan keharmonian serta mengeruhkan perpaduan rakyat Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan