"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS ‘anak tirikan’ Pulai?

Mohsin Abdullah

“Gelombang yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura. Saya dah habaq tadi sampai ke hujung,” kata pemimpin PAS paling top waktu ini, Sanusi Md Nor. Eh! Sanusi tak tau ke Singapura bukan dalam Malaysia? Dah lama dah keluar daripada persekutuan kita, YAB. Sejak 1965. Maknanya dah 58 tahun. Takkan menteri besar hebat tak tau.

Maaf saya cuma melawak kerana Sanusi lucu orangnya. Beliau suka bergurau jadi saya pun bergurau lah. Tapi taklah sampai ketuk kepala.

OK, cukup melawak. Ayuh bercakap serius. Kata-kata yang tertera di atas sebahagian daripada apa yang disuarakan Sanusi pada sidang media selepas majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional di markas PAS di Bakri, dua malam lalu.

Mungkin aspek Singapura yang diselitkan sekadar gurauan tetapi selainnya Sanusi serius. Beliau mendakwa DUN Simpang Jeram akan jadi “pintu masuk serta pencetus gelombang PN untuk bertapak di Johor” pada pilihan raya akan datang. Agak menarik Sanusi menggunakan istilah “Gelombang PN” dan bukan hijau yang dikaitkan dengan parti beliau. Untuk ambil hati Bersatu barangkali?

“Johor tidak terkecuali dengan permulaan di sini (Simpang Jeram) sebelum kita mengambil alih negeri dalam tempoh dua tahun setengah lagi,” kata beliau lagi lalu menzahir harapan Simpang Jeram akan menerima ‘aura’ enam negeri yang mengadakan pilihan raya masing-masing 12 Ogos lalu.

Boleh dikata hanya di penghujung sidang media Sanusi merujuk Pulai dengan berkata “saya yakin Simpang Jeram serta Pulai akan menjadi penentu penting untuk kita hantar mesej kepada perdana menteri.”

Kita maklum kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, timbalan presiden Amanah yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Lazimnya tumpuan diberi terhadap kerusi Parlimen. Bukan bererti kerusi dewan undangan tidak penting tetapi begitu lah kelazimannya. Apatah lagi pada pilihan raya kecil. Namun daripada hujah Sanusi jelas tumpuan ke atas kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan bukan kerusi Parlimen Pulai.

Adakah keutamaan yang ditunjuk Sanusi turut dikongsi PAS? Pemimpin dan ahli? Calon PN untuk DUN Simpang Jeram ialah Mohd Mazri Yahya, timbalan pesuruhjaya PAS Johor. Adakah bermaksud PAS sokong PAS dan tidak peduli Pulai yang calon PN ialah Timbalan Ketua Bersatu Pulai Zulkifli Jaafar.

Untuk berlaku adil perlu dinyatakan matlamat PN (atau hanya PAS?) ialah menawan Johor pada masa mendatang dan Simpang Jeram digunakan sebagai pintu masuk. Itu kata-kata Sanusi pada 23 Ogos lalu. Setuju atau tidak soal lain.

Selain itu wajar atau boleh dijangkakan jentera PAS akan tumpu membantu calon Simpang Jeram, yang ditandingi orang parti sendiri. Jelas PAS melihat peluang mereka di Simpang Jeram memang baik.

Kata Asrul Hadi Abdullah Sani, seorang pakar strategi di firma Bower Group Asia, jika trend PRN lalu berterusan maka pengundi BN (baca: Umno) akan menjadi faktor penentu. Mengambil kira apa yang dikatakan beliau elok juga diberi perhatian apa yang berlaku pada malam 23 Ogos dimana seorang Adun Umno Melaka hadir pada majlis berprofil tinggi PN di Johor.

Menurut Asrul: “Jika PN boleh menang di Simpang Jeram ini akan membimbangkan Umno kerana pengundinya terus mengalih sokongan. Ini ada impak yang memudaratkan ke atas Umno pada pilihan raya negeri akan datang jika putus hubungan (atau disconnect) antara pemimpin dengan ahli diabaikan.”

Allahyarham Salahuddin menang di Simpang Jeram sejak kerusi itu diwujudkan pada 2018. Pada PRN Johor 2022, Salahuddin mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 2,399 undi. Calon PH di kawasan itu kali ini ialah Nazri Abdul Rahman dari Amanah. Nyata pengaruh Amanah dirasai di Simpang Jeram.

Tentu begitu juga di Parlimen Pulai. Kawasan itu dianggap kubu kuat Amanah. Pada PRU15 November lalu Salahuddin mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 33,174 undi. Beliau sememangnya disenangi dan disukai ramai. Calon PH yang dipertanggungjawab meneruskan legasi Salahuddin ialah Suhaizan Kaiat, bekas speaker DUN Johor dan juga orang Amanah.

“Dengan kehadiran ramai pengundi bukan Melayu di samping faktor Salahuddin, adalah sukar untuk PN merampas Pulai,” kata Asrul.

Kawasan itu mencatat 40.47% pengundi Cina dan 12.7% India. Untuk sekian lama, kenyataan dan tindakan PAS termasuk Presiden Abdul Hadi Awang dan Sanusi sendiri telah melukai atau mengguris perasaan orang bukan Melayu-Islam. Tidak perlu huraian kerana semua sudah maklum. Saya bercakap secara am dan bukan merujuk kepada masyarakat bukan Melayu-Islam di Pulai secara khusus.

Apa pun selain strategi menawan Johor, adakah PAS sudah give up di Pulai atau tidak minat? Jika iya, apa yang Bersatu akan rasa. Takkan PAS lupa calon PN di Pulai orang siapa. Takkan lah lupa siapa bos PN. Tak kot walaupun PAS lagi kuat daripada Bersatu.

Tiada ulasan: