"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pukul budak, pengasuh dipenjara 12 bulan

FMT Reporters
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pengasuh mengasari kanak-kanak lelaki di sebuah taska di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang.
PETALING JAYA: Seorang pengasuh dihukum penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas tuduhan memukul seorang kanak-kanak di sebuah taska.

Hakim Amir Syah Amir Hassan juga mengenakan denda RM10,000 terhadap Melona Eva Ezwa Musah, 27, atau tambahan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun terhadap Melona, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Melona didakwa menganiayai kanak-kanak lelaki berumur empat tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Dia melakukan kesalahan itu antara 9 pagi hingga 10 pagi, 8 Ogos lalu di sebuah taska di Penampang, Sabah dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.

Terdahulu, peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili Melona memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan wanita itu sudah “dihukum” apabila berada dalam kemurungan dan menghadapi penghinaan selepas video perbuatannya tersebar di media sosial.

Pada 9 Ogos lalu, tular satu video yang menunjukkan seorang pengasuh mengasari seorang kanak-kanak lelaki di sebuah taska di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang.

Susulan kejadian itu polis menahan seorang wanita yang juga pengasuh di taska tersebut selepas menerima laporan daripada bapa kanak-kanak terbabit.

Tiada ulasan: