"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid: ‘Tunggu pemilihan 3 tahun lagi’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tunggu tiga tahun lagi. Itu mesej Presiden Umno Zahid Hamidi kepada kumpulan mendesaknya meletak jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada PRN di enam negeri 12 Ogos lalu.

Menurut Utusan Malaysia, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pihak terbabit harus menghormati sistem demokrasi parti sekiranya berhasrat menukar kepimpinannya.

Menurut, ketika ini ada suara mendesak kepimpinan parti ditukar, namun pada masa sama menyokongnya seperti disuarakan dalam solidariti Wanita Umno pertahan presiden di ibu negara semalam.

“Tetapi kalau berhajat sama ada orang dalam yang dipengaruhi oleh orang luar untuk menukar kepimpinan, maka tunggulah Umno melakukan pemilihan semula, tiga tahun akan datang,” katanya selepas merasmikan sebuah program di Johor Bahru hari ini.

Pada PRN lalu, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Zahid menangkis gesaan agar beliau berundur selepas PRU15 dan terus mengukuhkan cengkamannya dalam Umno apabila jawatan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Beliau turut menyingkirkan pengkritiknya dalam parti, termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan menggantung keahlian bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

Bekas naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata kekalahan parti itu dalam PRN menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada Umno “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Justeru, bekas perdana menteri itu menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan Umno susulan kekalahan teruk itu.

Desakan supaya Zahid meletak jawatan turut dibuat bekas ketua Umno Terengganu Idris Jusoh.

Tiada ulasan: