Sanusi Din
Benarkah orang Kedah itu biasa bergurau dengan cara kasar?
Sejak akhir-akhir ini heboh hingga menjadi sensasi isu budaya “kasar” orang Kedah. Ada pihak menafikan hal itu dan menganggapnya sebagai generalisasi dan falasi.
Ia juga dianggap tidak adil kepada orang negeri Jelapang Padi.
Pada masa sama tentu saja ramai yang meromantiskan budaya 'gurau kasar' itu atas matlamat tertentu, seperti membela pemimpin atau ketua yang dikagumi.
Tulisan ini cuba melihat kepada sejauh mana kebenaran bahawa majoriti orang Kedah biasa berbudaya kasar dalam kehidupan sehari-hari mereka.
Sejauh manakah kebenaran frasa “Orang Kedah memang lagu tu… kasaq"?
Benarkah majoriti orang Kedah berbudaya kasar, atau sebenarnya hanya ada segelintir yang rosak adabnya?
Saya ini anak kelahiran Kampung Singkir Laut di daerah Yan. Saya lahir pada 1970. Ibu saya berasal dari Yan Besar, Kedah manakala ayah berasal dari Kampung Padang Tok Sora, Pengkalan Kakap, juga di Kedah.
Minta izin untuk melintas
Setelah berkahwin ibu bapa saya menetap di Kampung Singkir Laut. Saya dibesarkan oleh orang yang memang berasal dari Kedah dan hidup dalam sebuah kampung nelayan di Kedah.
Pada era 1970-an, saya dan adik-beradik dididik supaya sentiasa perlu menghormati orang tua. Ia adalah antara perkara asas dan sangat diutamakan.
Justeru kami tahu bahawa tidak boleh menyampuk apabila ada orang lebih tua bercakap. Kami juga tidak boleh bercakap kepada tetamu selagi tidak ditanyakan soalan atau mendapat kebenaran daripada ibu bapa.
Kami tidak boleh meninggikan suara kepada orang yang lebih tua. Kami juga tidak boleh memanggil seseorang hanya dengan namanya. Setiap panggilan mesti disertakan gelaran, pak cik, mak cik, abang, kakak dan sebagainya sebelum diikuti dengan nama mereka.
Untuk melewati hadapan orang yang lebih tua, kami akan sebut: “Chek tumpang lalu Pak Cik Samad naaa.” Ia dilakukan sambil membongkokkan badan dan memberi isyarat telapak tangan mendahului langkah.
Kalau melewati belakang seseorang pun, kami akan 'meminta izin' seperti: “Chek tumpang lalu kot belakang Pak Cik Samad naaa.”
Ia juga dilakukan sambil membongkok dan memberi isyarat telapak tangan mendahului langkah. Ia kekal begitu walaupun sebenarnya Pak Cik Samad tidak melihat pun.
Tindakan meminta izin itu mesti disertai pemulukan ayat iaitu dengan kata “naaa” yang dilembutkan.
Jika ada tetamu datang ke rumah, kami mesti mandi dan tukar pakaian serta “mempersembahkan” diri kami sebagai anggota keluarga. Duduk bersila - bagi lelaki - atau bersimpuh (untuk perempuan) di satu sudut yang boleh dilihat oleh tetamu.
Setelah orang tua bersembang beberapa ketika, kami akan diajak berbual oleh tetamu. Pada waktu itulah kami akan bercakap. Jika tiada soalan, kami akan diam sehinggalah tetamu pulang.
Pengucapan loghat Kedah kebiasaannya lembut dan lanjut. Berikut adalah contoh pengucapan orang Kedah yang menunjukkan kesantunannya:
* “Sila ooo sila”
* Mai kaih chek mai, tok sah segan naaa.
Ia adalah adalah jemputan kepada tetamu atau orang yang diraikan. Apabila bertanya pula, bunyinya juga tetap santun dan merendah diri. Misalnya, untuk bertanya arah, kami akan berkata:
* Rumah pengulu nak pi kut mana tak tau?”
* Nak makan apa tak tau?
* Moktan (rambutan) sekilo kira lagu mana tak tau?
Ungkapan pemulukan “tak tau” itu adalah cara sopan dan lembut kami dalam bertanya. Kemungkinan besar diaspora bangsa Thai dan Melayu Pattani yang menjadikan nada percakapan seperti itu ada di Kedah.
Nada itu juga sama dengan longhat orang Perlis.
Romantiskan isu adab
Kami dididik sejak kecil untuk bercakap lembut, hormat kepada orang lebih tua dan merai tetamu pada bila-bila masa saja, walaupun ia bermakna kami terpaksa meminjam beras dari jiran sebelah.
Inilah budaya orang Kedah yang sebenar.
Walaupun kami dididik bercakap lembut, ada juga tabu yang boleh menaikkan kemarahan orang Kedah sehingga menghilang kelembutan percakapan.
Pantangnya orang Kedah ialah jika disebut akan apa-apa yang tidak baik mengenai mak bapaknya. Apatah lagi jika di-kepala-bapak-kan.
Pantang orang Kedah juga kalau kepalanya 'dimainkan' secara fizikal. Dua hal itu boleh menyebabkan kesabaran kami hilang, dan ada kemungkinan ia boleh melarat sehingga melibatkan pergaduhan fizikal.
Bagaimanapun jika ada pihak yang meromantiskan perbuatan rosak adab terutama membabitkan pemimpin mereka, itu tidaklah menjadi hal sangat kerana kita sedia maklum, ketaasuban akan mensia-siakan ilmu.
Setinggi mana pun belajar, setebal mana pun sijil, sejauh mana pun menuntut, sikap taasub membuta tuli akan menjadikan ilmu tidak bermakna apa-apa.
Lebih dikesalkan ialah, kerana hendak menegakkan sehelai benang yang basah, habis dipukul rata semua orang Kedah. Kononnya gurauan kasar dalam pergaulan adalah darah daging kami.
Itu tidak tepat dan tidak adil sama sekali kepada orang Kedah yang terdiri daripada ibu bapa dan kaum kerabat kami.
Ia juga sudah tentu tidak adil kepada semua ibu, bapa dan kaum kerabat mereka yang meromantiskan budaya kasar tersebut.
SANUSI DIN atau nama penanya Ibnu Din Assingkiri ialah penulis kreatif separuh masa yang mencintai budaya orang Kedah sepenuh masa.
malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan