Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram disifatkan amat penting kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata, pihaknya melihat PH perlu mempamerkan kemaraan gelombang hijau di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang terhenti di situ.
Katanya, PH seharusnya mendapatkan majoriti atau kemenangan lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Pulai dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Simpang Jeram.
"Oleh kerana teorinya kalau digabungkan undi BN dan PH sepatutnya melonjak majoritinya, tetapi ini tidak berlaku ketika PRN.
"Sebab itu dikatakan perlu disalurkan semangat pengundi PH dan BN untuk keluar mengundi beramai-ramai dalam menentukan kemenangan yang lebih besar berbanding dengan yang lepas.
"Itu penting bagi PH menunjukkan persepsi gelombang hijau tidak berlaku di Johor," katanya kepada Harian Metro hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.
Dilaporkan, Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat, diumum sebagai calon parti itu mewakili PH bagi Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman sebagai calon Dun Simpang Jeram.
Azmi berkata, bagi pihak PN, ia juga penting untuk gabungan itu memenangi kedua-dua kerusi tersebut.
"Kalau pun sukar, dapat mengurangkan majoritinya dengan jauh lebih banyak untuk mempamerkan bahawa pengundi bukan sahaja di tiga negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menyebelahi mereka, tetapi di Johor juga akan berlaku.
"Ini kerana di Johor, dianggap kubu kuat dahulunya Umno, sekarang dianggap sebagai kerjasama dengan PH," katanya.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pihaknya menjangkakan gabungan PH dan BN akan memenangi dua PRK ini.
Ini kerana katanya, di Johor adalah kubu kuat kedua-dua gabungan itu selain faktor sentimen kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang akan melonjakkan undi kepada mereka.
"Saya kira ini adalah satu momentum untuk menang lebih baik itu akan tercetus, lebih-lebih lagi selepas kedudukan 3-3 (semasa PRN).
"Saya tidak melihat kemenangan besar PN di Selangor memainkan peranan. Sebab suasana di Johor ini lain, budaya politik di Johor lain.
"Saya percaya bahawa PH-BN boleh menang dan mengekalkan kedudukan mereka. Ini di Johor, bukannya di Kuala Terengganu, bukannya di Terengganu, Kelantan atau Kedah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan