Nora Mahpar
PETALING JAYA: Umno yang kini berdepan hakisan keyakinan akar umbi dikatakan berpeluang untuk bangkit semula dengan perubahan drastik kepimpinan pusat, menurut dapatan penganalisis.
Mujibu Muis dari Ilham Centre berkata kaji selidik di lapangan merumuskan beberapa langkah yang dipercayai boleh memulihkan Umno, antaranya ketokohan serta pemulihan etika dan integriti.
“Majoriti ahli Umno mengatakan mereka tidak yakin Umno boleh maju ke hadapan untuk melawan ‘musuh’ dengan Zahid Hamidi sebagai presiden,” katanya pada wacana pasca PRN anjuran Ilham Centre.
“Dalam konteks akar umbi, jelas mereka mahukan satu perubahan drastik dalam kepimpinan Umno dan mereka mengatakan tak yakin dengan keseluruhan kepimpinan Umno dari presiden sehingga pimpinan kanan.”
Menghuraikan isu ketokohan, Mujibu berkata terdapat dua penemuan dalam kalangan Umno iaitu akar umbi mahu perubahan drastik dalam kepimpinan dan keinginan untuk memujuk kembali pemimpin yang telah “dibuang”.
“Daripada dua dapatan ini, jelas menunjukkan Umno ada masalah ketokohan. Ini berlaku di seluruh negeri, seluruh peringkat,” kata felo penyelidik Ilham Centre itu.
“Kalau kepimpinan Umno masih boleh kata nak ambil orang lama untuk masuk kembali dalam Umno untuk melakukan perubahan, dia serupa ‘gincu baharu bibir lama’. Perubahan mahu dilakukan tetapi dipimpin oleh orang lama. Perubahan macam mana? Tak tahu.”
Mengulas tentang pemulihan etika dan integriti pula, Mujibu berkata isu ini berkait dengan bagaimana Umno boleh menawan sokongan pengundi atas pagar.
Menurut beliau, PRN lalu menunjukkan pengaruh Perikatan Nasional sudah memasuki kawasan Umno di Selangor dan Negeri Sembilan, walhal gabungan itu tiada pangkalan yang kuat dan menggunakan sentimen untuk menawan sokongan akar umbi Umno dan pengundi atas pagar.
“Masalah dengan Umno pada ketika ini terkait dengan etika dan integriti, tapi orang Umno sendiri kata perkara ini ‘lumrah’,” kata Mujibu.
“Isu yang kritikal adalah pengundi atas pagar dan pengundi parti sekutu mengatakan isu ini perkara asas untuk undi mereka… mereka beri undi kerana mahu sekurang-kurangnya kerajaan Pakatan Harapan bertahan tapi untuk jangka panjang, jika ini berterusan, mampu menghakis sokongan kelompok itu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan