N Faizal Ghazali
Dua Adun pembangkang di Kelantan menuntut permohonan maaf daripada Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud susulan kenyataannya yang mendakwa mereka menentang perjuangan Islam.
Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim memberi tempoh selama tujuh hari kepada Nassuruddin dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya dia gagal berbuat demikian.
“Kegagalan menteri besar melaksanakan permohonan maaf secara terbuka ini mengundang kepada tindakan undang-undang yakni memfailkan saman sivil di mahkamah.
“Kita tidak boleh berkompromi dan membiarkan ucapan serta budaya pemecahbelah umat berterusan dalam negeri ini.
"Sebagai menteri besar, sewajarnya pendekatan perpaduan dan penyatuan menjadi pilihan berbanding tuduhan melulu serta menyemai benih-benih keliru,” jelasnya pada sidang media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Terdahulu Nassuruddin dalam satu rakaman video yang tular mendakwa kemenangan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.
Dia juga juga menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN selepas menewaskan calon PAS di kawasan terbabit sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.
Kenyataan itu dibuat dalam kuliah agama di Medan Ilmu, Kota Bharu, Jumaat lalu.
‘Budaya takfiri’
Mohd Syahbuddin berkata, menteri besar yang baru dilantik itu secara sedar dan jelas menamakan dua kerusi DUN Kelantan yang dimenangi PH dan BN diwakili oleh mereka yang menentang perjuangan Islam.
Tambahnya seramai 10,742 pengundi Galas yang mengundi BN dan 9,691 pengundi DUN kota Lama yang mengundi PH amat tersinggung dengan pernyataan menteri besar ini yang dianggap sebagai melampau dan ekstrem.
“Kenyataan menentang PAS seperti menentang perjuangan Islam adalah budaya takfiri yang boleh memecahbelahkan rakyat dan Masyarakat.
“Pastinya kenyataan ini menjurus kepada perselisihan faham yakni menuduh pengundi BN sebagai penentang (Islam) sedangkan saya sebagai seorang Islam yang lahir dan Insya-Allah mati sebagai umat Islam tidak sesekali akan menentang Islam,” katanya.
Dalam pada itu dia juga meminta menteri hal ehwal agama, mufti serta alim ulama memberikan pandangan berkaitan kenyataan menteri besar Kelantan itu.
"Ternyata tutur katanya amat berbeza dengan menteri besar Kelantan sebelum ini (Ahmad Yakob),” kata Syahbuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan