"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memahami perseteruan Pas dan Umno

HarapanDaily.com

FATHI ARIS OMAR

Penyokong Pas atau PN sakit hati melihat Umno bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan.

Maka mereka berdoa “moga pilihan raya umum ke-16, Umno dihumban sepenuhnya oleh orang Melayu”!

Umno selama ini ditolak orang Melayu bukan kerana bersama PH, bukan kerana DAP! Biar jelas sedikit otak!

Umno dihumban Pas dan PN dalam pilihan raya kerana berebut sasaran pengundi yang sama! Faham? Faham atau tidak?

Jika Pas ingin berkuasa, maka Umno mesti dipijak. Begitulah sebaliknya. Umno rampas Kelantan di atas air mata Pas. Pas sambar balik Kelantan di atas keringat Umno.

Tidak ada kena-mengena dengan DAP. Malah, Pas berselingkuh dengan DAP di dalam gelap APU dan Gagasan pada PRU 1990.

Umno yang dilontar label “taghut”, zalim, “hizbus syaiton”, golongan ‘asobiyyah yang membina masjid dhiror! Mustakbirin yang menindas mustadh’afin! Dengan semangat Memali dan Amanat Hadi.

Amboi, masakan sudah lupa retorika, cemuhan dan slogan tahun 1980-an? Cepat betul mudah lupa. Makan sotong banyak sangat, barang kali. 😉

Kemudian Pas berpakat dengan DAP dan PKN untuk menelan Umno lagi pada 1999. Maka tewaslah Umno di 27 kerusi (1 lagi MCA) bagi membuka jalan Pas berkuasa di Terengganu.

Siapa yang berkempen siang malam: keluar Barisan (Nasional), masuk bulatan (Pas)? Siapa? DAP atau Pas?

Begitulah seterusnya perseteruan yang tajam antara Pas dengan Umno dan antara Umno dengan Pas. Tiada kena-mengena Umno dengan DAP.

Malah, Pas memeluk DAP sambil memijak Umno pada 2008 dan 2013. DAP yang membuka pintu pejabat MB Perak kepada Pas.

Siapa yang menjerit siang malam: PGU, PGU, PGU? Pas ganti Umno? Siapa? Pas atau DAP?

Yang merampas Perlis daripada Umno bukan DAP tetapi Pas pada 2022. Umno yang slow and steady terkamjat tenggelam kelemasan dalam arus hijau Pas.

Sekali lagi, tiada kena-mengena dengan DAP atau PH.

Umno bergerak solo waktu itu dengan kaki terencot-encot dilanggar gerombolan anti-1MDB 2018 tetapi disepak Pas dengan rasa penuh gah dan bangga! Bukan?

Umno yang sudah lemah diinjak-injak Pas pula. Hilang sudah jasa baik Umno memberi nafas kepada PAS pasca-2004 sewaktu nyawa di halkum dengan baki 1 kerusi. Politik memang kejam!

Siapa yang mencuri sokongan Umno melalui Muafakat Nasional (MN)? Apa Umno dapat dengan tipu muslihat ini? Apa untung Umno dapat? Hanya ketewasan demi ketewasan. Di tangan siapa? Pas!

Di saat itulah PH menghulur tangan Kerajaan Perpaduan. Bukan salah Umno dan parti-parti lain. Pas yang sudah yakin “cukup jomloh” yang menolak idea kerajaan perpaduan.

Selepas itu, Umno diserang bertubi-tubi atas kerjasamanya dengan PH. Sewaktu Umno koyak-rabak dan calar-balar dirempuh PAS-Bersatu. Sewaktu Umno paling daif dan tidak bermaya lagi.

Padahal Pas, melalui mantera “tahalluf siyasi” dengan DAP, yang pertama-tama dan awal-awal memijak Umno bertubi-tubi: 1999, 2008 dan 2013.

Selepas ini Pas hendak suruh Umno buat apa? Bertanding solo? Kau tengok macam mana nasib Umno di tangan PAS-Bersatu ketika ia bergerak solo pada PRU 2022.

Waktu itu lagi orang Umno berpaling tadah, hasil hasutan MN dan ejen-ejen pembelot pro-Bersatu, rela naikkan wakil rakyat PAS dan PN.

Mari 19 November, tiba-tiba ajak Umno bersama PN, bentuk kerajaan kembali! Eh, bukan sekejap tadi kau dah tikam Umno? Di mana logiknya?

Jadi sekarang PAS hendak ajak Umno sertai PN, berkongsi kerusi dengan Bersatu? Berapa kerusi Umno dapat? Bersatu sendiri sekadar terima belas ihsan PAS sahaja, makan sisa nasi tambah PAS.

Di negeri Umno yang PAS tidak yakin menang, macam Perlis pada PRU 2022, Bersatu dapat 6 PAS ambil 9. Bersatu kalah 1, PAS menang semua.

Begitu juga di Kedah pada PRN 2023. Di negeri yang dominasinya belum mutlak, PAS sedia beri Bersatu 12 kerusi dan Gerakan 3. PAS ambil 21.

Bersatu hilang 1, Gerakan tewas 2, PAS menang semua di Kedah.

Cuba lihat berapa kerusi PAS sanggup beri kepada sekutu rapatnya Bersatu di Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang dicengkam kuat parti Islam.

Berapa kerusi? Cuba kira berapa kerusi? Cakap, berapa kerusi?

Di negeri yang bulat sempurna dominasi Pas, Bersatu dapat saki-baki 13.33 peratus dan 15.62 peratus sahaja!

Di negeri yang Pas kurang yakin atau rasa gementar, sekutunya dapat 40.0 peratus dan 41.67 peratus. Nampak? Kau nampak tak tu?

Kalau Pas hendak ajak Umno sertai PN, berapa kerusi Umno dapat? Kerusi siapa yang mahu dikorbankan? Kerusi PAS atau kerusi Bersatu?

Atau, Pas mahu letak Umno lawan di kerusi DAP?

NOTA: Tulisan ini sekadar mengajak kita berfikir dengan lebih tajam dan teliti. Tidak semua retorika politik perlu diluah seperti budak sunat laser layan TikTok. Masih ada mereka yang belum lupa siapa itu Pas dan siapa itu Umno.

Tiada ulasan: