"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peniaga warga asing bersepah di Pasar Borong KL kerana ada orang 'jaga'

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my
PERSATUAN Pemborong mengadakan pertemuan dengan Prabakaran (tiga dari kanan) di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib
PERSATUAN Pemborong mengadakan pertemuan dengan Prabakaran (tiga dari kanan) di Kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO Amirudin Sahib
Kuala Lumpur: Peniaga tempatan didakwa menjadi dalang menyebabkan isu peniaga warga asing menguasai perniagaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) terus berlarutan sejak sekian lama.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock berkata, peniaga warga asing menggunakan lesen orang tempatan dengan sewa sehingga RM10,000 sebulan bagi membolehkan mereka beroperasi di deretan premis luar pasar borong itu.

Beliau berkata, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada melaksanakan penguatkuasaan sitaan barangan namun langkah itu dilihat gagal mematahkan usaha mengusir penjaja warga asing terdiri pemegang Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) di situ.

"Justeru, saya menggesa kekerapan operasi bersepadu membabitkan semua agensi terutama imigresen dan polis dilakukan bagi mengatasi permasalahan itu untuk mengelakkan terus berlarutan dan tidak terkawal.

"Dalam PBKL bersih, semua peniaga patuh peraturan tetapi apabila keluar pintu PBKL dapat dilihat lambakan warga asing yang beroperasi sesuka hati hingga memenuhi siar kaki dan menyebabkan kacau ganggu lalu-lintas serta menyebabkan kawasan menjadi kotor.

"Mereka pemegang kad UNCHR, sepatutnya tidak boleh bekerja apatah lagi menjadi bos di sini namun masalah ini berlarutan dalam tempoh lama dan penguatkuasaan sedia ada tidak cukup untuk halau mereka keluar dari kawasan ini.

"DBKL hanya boleh sita barang tapi tak boleh tangkap mereka. Jika begitulah, lebih baik ada kad UNCHR daripada kad pengenalan warga negara sebab mereka bebas berniaga sedangkan orang tempatan diikat dengan banyak peraturan," katanya semasa mengadakan tinjauan bersama Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di PBKL, di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, operasi peniaga warga asing itu dilindungi pihak tertentu apabila masih terus beroperasi walaupun lesen perniagaan disewa mereka sudah tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada pihak yang 'jaga' (lindungi) peniaga warga asing ini memandangkan mereka sudah bertapak lama di kawasan ini dan sehingga kini masih gagal dihalau.

"DBKL tidak lagi luluskan pembaharuan lesen niaga kerana tidak mahu kawasan (luar) PBKL itu dipenuhi warga asing jadi mereka kini beroperasi secara haram.

"Mereka guna lesen orang tempatan untuk beroperasi dan boleh bayar hingga RM10,000 sebulan sewa kepada pemilik sebenar lesen niaga iaitu warga tempatan.

"Saya bimbang jika operasi bank-bank di sini berpindah, maka kawasan ini sepenuhnya akan menjadi perkampungan warga asing jika tindakan tegas tidak dilakukan," katanya.

Sementara itu, Prabakaran berkata, pihaknya akan memastikan operasi bersepadu membabitkan semua agensi akan dimulakan bulan depan.

"Jika lihat situasi di sini memang jelas menunjukkan pelanggan dalam kawasan PBKL semakin berkurangan selepas warga asing berniaga tanpa lesen di luar PBKL.

"DBKL boleh mengambil tindakan ke atas jualan tanpa lesen tetapi berkaitan warga asing perlu dibincangkan bersama imigresen serta MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk cari penyelesaian. Jika warga asing di dalam PBKL boleh diatasi, kenapa di luar tidak boleh, " katanya.

Tiada ulasan: