Haspaizi Zain
Wanita Umno Perak menyifatkan pihak yang mendesak Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatannya sebagai presiden sebagai masalah "kurap dan kudis" yang masih ada dalam Umno.
Naib Ketua Wanita Umno Perak, Salina Samsudin, berkata oleh kerana itu pihaknya akan terus mempertahankan bagi memastikan 'penyakit' tersebut dapat disembuhkan.
"Umno kini sedang sakit, Umno kini sedang luka... Kita ada kudis, kita ada kurap, kita ada barah, tapi kita sedang merawat.
"Kepada kurap-kurap, kudis-kudis yang telah dibuang - jangan harap diterima kembali. Duduklah di sana diam-diam," katanya.
Menurut Salina, sebagai pihak yang sayang kepada Umno sesiapa saja yang diangkat menjadi pemimpin, mereka akan mempertahankannya.
Pihak yang tidak senang dengan pemimpin terbabit termasuk yang masih "berbaki" di dalam Umno, katanya lagi, boleh meninggalkan parti.
"Jika ada di dalam ini kudis-kudis yang berbaki, kalau tak suka sila pergi (tinggalkan Umno).
"Kami sayang 'ayah' kami, kami akan pertahan 'ayah' kami. Siapa jadi presiden institusi itu kita perlu pertahan," katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita Umno Malaysia, Noraini Ahmad, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Shabery Cheek.
Sementara itu Ketua Wanita Umno Kelantan, Nor Wahida Patuan, menyeru ahli parti supaya mencontohi semangat "walaun PAS" yang sentiasa setia meskipun parti mereka tewas.
Katanya, "walaun PAS" tidak pernah menggesa presidennya berundur meskipun parti itu hanya menang satu kerusi.
"(Kita) kena belajar dengan walaun, (mereka) sentiasa setia.
"Pada tahun 1986 PAS kalah (dan hanya) ada satu, (kemudian) naik tujuh kerusi kerusi.
"Akar umbi (PAS) tidak desak presiden undur daripada parti, sokong sokmo presiden," katanya.
Tumpang syok ikut Muhyiddin
Untuk rekod walaun adalah istilah yang digunakan pelbagai pihak merujuk kepada penyokong tegar PAS.
Ketua Wanita Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid, pula menyelar ahli Umno yang terikut-ikut rentak Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang mendesak agar Ahmad Zahid berundur.
Katanya, Wanita Umno Negeri Sembilan bersatu menyokong presiden mereka dan akan terus berjuang seperti sepatutnya.
Jika perubahan mahu dibuat, tambahnya, ia perlu dilakukan seperti yang diperlukan bukannya menggantikan presiden.
"Kami bersama bersatu menyokong institusi presiden, kami akan terus berjuang bersama Umno.
"Ubah cara tadbir, bukan ubah presiden... kena ada adab, hormat, kena ada setia, terjemahkan.
"Seburuk-buruk PAS, buruk-buruk PKR tak pernah suruh presiden berhenti. (Ini) kita tumpang syok ikut Muhyiddin, dia (Muhyiddin) yang patut berhenti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan