"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemergian yang dicemburui, imam meninggal dunia ketika imamkan solat Subuh di Segamat

ADRIANA MROON AMBROSE
Rakaman video CCTV ketika Allahyarham Mohd Razif Hussin (gambar kecil) mengimamkan solat subuh pada pagi Jumaat sebelum rebah Masjid Jamek Kampung Sermin, Segamat, semalam.
SEORANG imam meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Kampung Sermin dekat Segamat, Johor Bahru pada Jumaat.

Video rakaman televisyen litar tutup (CCTV) berdurasi 45 saat di masjid berkenaan turut tular memaparkan saat-saat akhir Mohd. Razif Hussin yang sedang mengimamkan solat dihadiri jemaah masjid berkenaan.

Khabar duka pemergian Allahyarham turut dikongsikan sahabatnya, Azreen MJ Liverpool melalui satu hantaran Facebook pada hari yang sama.

"Ramai sahabat-sahabat hadir demi mu abang, selamat jalan sahabat lama ku imam, Razif bin Hussin (Abang Najib) ke negeri abadi.

"Hampir 20 tahun mengenalimu. Seorang insan yang sangat baik ketika hayatnya. Pergi mu amat dicemburui oleh semua manusia.

"Dijemput oleh ALLAH ketika sedang mengimamkan solat Subuh berjemaah di Masjid Sermin Segamat. Pergimu di pagi Jumaat penghulu segala hari, di bulan Ramadan penghulu segala bulan. Al-Fatihah. Semoga ALLAH menempatkan kamu dikalangan roh-roh para syuhada," tulisnya.

Melalui video yang dikongsikan, Allahyarham yang merupakan Imam 1, Masjid Jamek Kampung Sermin dilihat tiba-tiba rebah sebelum dibantu beberapa jemaah yang terkejut dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah dilaporkan berkata, pihak polis ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

“Pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. — Majoriti

Tiada ulasan: