"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah India haramkan madrasah di negeri berpenduduk paling padat

BHarianonline 

NEW DELHI: Sebuah Mahkamah Tinggi semalam mengharamkan sekolah Islam atau madrasah di Uttar Pradesh yang merupakan negeri berpenduduk paling padat di India.

Langkah itu dilihat bakal menyebabkan ramai umat Islam di India menjauhi kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, menjelang pilihan raya umum (PRU), tidak lama lagi.

Keputusan itu sekali gus membatalkan undang-undang yang diperkenalkan pada 2004 bagi mengawal madrasah di Uttar Pradesh. Satu perlima daripada 240 juta penduduk Uttar Pradesh adalah Muslim.

Mahkamah itu antara lain menyatakan penubuhan madrasah terbabit melanggar sekularisme Perlembagaan India, dan memerintahkan pelajarnya dipindahkan ke sekolah konvensional.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan kanak-kanak berumur antara enam hingga 14 tahun tidak dibiarkan tanpa memasuki institusi yang diiktiraf," kata Hakim Subhash Vidyarthi dan Vivek Chaudhary dalam perintah bertulis mereka, yang dibuat susulan rayuan difailkan oleh peguam, Anshuman Singh Rathore.

Setakat ini, Reuters tidak dapat menghubungi Rathore atau mengenal pasti sama ada beliau berkait dengan sebarang kumpulan politik.

Sementara itu, Ketua Lembaga Pendidikan Madrasah di Uttar Pradesh, Iftikhar Ahmed Javed, berkata keputusan Mahkamah Tinggi Allahabad itu menjejaskan 2.7 juta pelajar dan 10,000 guru di 25,000 madrasah terbabit.

India akan mengadakan PRU antara April hingga Jun depan di mana Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dianggotai Modi, dijangka mencatat kemenangan.

Golongan Muslim serta kumpulan hak asasi manusia telah mendakwa sebilangan ahli BJP dan sekutunya menyebarkan ucapan kebencian berbaur anti-Islam, selain turut merobohkan hartanah milik orang Islam.

Modi bagaimanapun menafikan diskriminasi agama berlaku di India. - REUTERS

Tiada ulasan: