BHarianonline
SINGAPURA: Seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan setelah pihak berkuasa menemui enam ekor anak kucing disembunyikan di dalam papan pemuka keretanya di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Law Wei Bin, 28, dihadapkan ke mahkamah pada 7 Jun dan didakwa atas enam pertuduhan mengimport haiwan tanpa lesen yang sah, satu pertuduhan untuk setiap seekor anak kucing.
Mengikut pertuduhan, pada 6 Jun kira-kira jam 8.20 malam, Wei Bin ditahan bersama kucing-kucing itu dalam kenderaan berdaftar dari Malaysia yang dipandunya.
Enam ekor anak kucing itu ditemui disembunyikan di dalam petak papan pemuka yang diubah suai. Kesemuanya ditemui masih hidup.
Dokumen mahkamah tidak memberikan butiran lanjut megenai cara petak papan pemuka diubah suai atau cara kesalahan yang didakwa ditemui.
Jika sabit kesalahan, Wei Bin berdepan denda maksimum $10,000 (RM34,880) atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, untuk setiap pertuduhan.
Dia kini dibebaskan dengan jaminan $10,000 (RM34,880) dan kesnya akan dibicarakan semula pada 5 Julai ini.
Pada Ogos 2023, seorang tukang kayu cuba menyeludup 10 ekor anak anjing dan tiga anak kucing dari Malaysia ke Singapura dalam petak yang diubah suai di bawah tempat duduk penumpang belakang di dalam kenderaannya.
Dia ditangkap di Pusat Pemeriksaan Woodlands semasa pemeriksaan rutin tetapi lima daripada anjing itu mati dalam masa dua minggu.
Punca kematian haiwan berkenaan dipercayai akibat radang paru-paru akibat bakteria yang menyebabkan masalah pernafasan.
Wong Cai Long, 25, yang bersetuju untuk menyeludup haiwan itu untuk membayar hutangnya, telah dijatuhi hukuman penjara 40 minggu pada November 2023.
Dalam perbicaraan mahkamah Cai Long, pendakwaraya Lembaga Taman Negara, Shafiuddin Ong, berkata kesemua 13 haiwan itu diuji positif virus sangat berjangkit yang disebarkan melalui sentuhan najis-mulut dan menyebabkan penyakit gastrousus pada anjing dan kucing.
Pendakwa raya menambah bahawa persekitaran yang sempit dan pengudaraan yang buruk di dalam petak kenderaan berkemungkinan memudahkan penularan virus itu.- AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan