"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ADUN PN papah wanita mabuk ke bilik hotel, dedah keputusan penghakiman

Harapandaily

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dari Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hilman Idham dikatakan telah menjemput kenalan yang kemudiannya menjadi mangsa rogol kepada seorang ahli perniagaan.

Mengikut satu kes pendakwaan, mangsa memberitahu telah dijemput oleh Hilman Idham untuk sambutan ulang tahun kelahirannya di sebuah restoran di hotel berkenaan bersama tertuduh dan beberapa lagi rakan lain pada penghujung 2020.

Selepas makan malam di restoran itu, mereka beredar ke bilik karaoke.

Walau bagaimanapun, melihat keadaan mangsa yang mabuk, tertuduh mencadangkan bilik hotel ditempah untuk menempatkan wanita tersebut.

Hilman yang merupakan wakil rakyat dari Bersatu dilapor telah memapah mangsa ke bilik bersama tertuduh dan tiga lagi individu.

Setelah terjaga pada jam 4.30 pagi, 5 Disember 2020, mangsa menyedari berada dalam keadaan bogel lalu dia membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Mohd Zulfahimin Mahdzir, 40, didakwa merogol seorang wanita berusia 35 tahun, di sebuah bilik hotel di Sri Hartamas, pada jam 1 hingga 3 pagi, 5 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Ekoran itu, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak itu dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu.

Hakim, Nor Hasniah Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pasukan pendakwaan berjaya membuktikan prima facie sementara pihak tertuduh gagal menimbulkan keraguan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah memutuskan pembelaan tertuduh adalah tidak bermerit, lapor Sinar Harian memetik keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada 25 Julai lalu.

“Mahkamah ini berpendapat, pembelaan gagal mengemukakan penjelasan untuk menyangkal keterangan saksi-saksi pendakwaan, yang jelas menyatakan mangsa telah mabuk pada malam kejadian.

“Semasa pemeriksaan balas, tertuduh juga mengakui bahawa mangsa tidak pernah mengatakan ingin bersetubuh dengannya,” kata hakim itu.

Beliau berkata, tindakan mangsa yang mengajak tertuduh menemaninya pada malam kejadian, tidak boleh secara automatik dikatakan bahawa wanita itu merelakan untuk melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Susulan itu jelasnya, mahkamah mendapati, keterangan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak merogol mangsa adalah satu penafian semata-mata.

Katanya, mahkamah berpendapat, kesalahan yang dilakukan ialah serius dan keji kerana Mohd Zulfahimin mengambil kesempatan merogol, ketika mangsa mabuk.

Menurutnya, hukuman terhadap lelaki itu hendaklah memberi amaran tegas kepada masyarakat supaya kesalahan sebegini tidak berleluasa.

Hakim berkenaan berkata, mahkamah juga berpandangan bahawa kepentingan awam menuntut mahkamah mengenakan hukuman yang berat sebagai pengajaran.

Tiada ulasan: