"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak sulung Ismail Haniyeh: 'Darah ayah tidak lebih berharga daripada darah kanak-kanak, lelaki dan wanita yang syahid di Gaza'

Agensi
ORANG ramai memegang poster memaparkan gambar Ismail Haniyeh, semasa perhimpunan anti-Israel di Tehran, Iran, pada 31 Julai 2024. FOTO Wana/ Reuters
ORANG ramai memegang poster memaparkan gambar Ismail Haniyeh, semasa perhimpunan anti-Israel di Tehran, Iran, pada 31 Julai 2024. FOTO Wana/ Reuters
Gaza: "Darah bapa dan semua korban syahid yang mengalir ke bumi akan mengekalkan negara, menyemarakkan penentangan dan revolusi sehingga mencapai kemenangan mengalahkan Israel."

Itu penegasan Said Abdel Salam Haniyeh, anak sulung bekas Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dalam temu bualnya dengan Al-Jazeera, sambil menjelaskan kepentingan perpaduan barisan Palestin menjadi motif utama bapanya dibunuh rejim.

Haniyeh, seorang pemimpin politik Palestin yang terkenal dan Ketua Biro Politik Hamas dibunuh di Tehran, Iran, semalam, dalam serangan udara Israel.

Bekas Perdana Menteri Palestin itu berada di Tehran atas jemputan rasmi Kerajaan Republik Islam Iran dan dengan kehadiran ramai pemimpin negara lain untuk menghadiri majlis perasmian angkat sumpah Presiden baru Iran, Masoud Pezeshkian.

MEHR News Agency Iran melaporkan Haniyeh syahid dalam serangan kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan Rabu 31 Julai 2024 yang dilancarkan rejim Zionis ke atas kediamannya di Tehran. Serangan turut menyebabkan pengawal peribadinya terbunuh.

Hamas dan Pengawal Revolusi Iran mengesahkan kematian itu dan mengumumkan siasatan berterusan ke atas insiden itu.

Mengulas mengenai pembunuhan bapanya kepada Al-Jazeera, Abdel Salam berkata, rakyat negara merdeka dan rakyat Palestin tentunya terkesan atas kematian syahid Haniyeh yang mengambil jalan sama seperti warga Palestin lain.

"Jalan ini hanya boleh berakhir dengan kemenangan atau syahid. Saya mengulangi kata-kata bapa yang sering digunakannya untuk meratapi ahli keluarga gugur dalam serangan Israel dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Katanya: Darah ayah tidak lebih berharga daripada darah kanak-kanak, lelaki dan wanita yang syahid di Gaza," katanya.

Tiga daripada anak lelaki Haniyeh iaitu Hazem, Amir dan Mohammad terbunuh pada 10 April lalu, apabila serangan udara Israel mengenai kereta dinaiki mereka.

Haniyeh turut kehilangan empat cucunya, tiga perempuan dan seorang lelaki, dalam serangan itu.

Abdel Salam berkata, darah bapanya adalah pengorbanan yang diperlukan dalam perjalanan menuju pembebasan, memetik mereka sudah mendahului meninggal dunia dengan cara sama seperti pemimpin serta pengasas Hamas, Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin, Yasser Arafat, Fathi Shikaqi, Abu Ali Mustafa dan lain-lain yang 'mengorbankan' darah mereka di jalan pembebasan."

Mengenai empat percubaan pembunuhan sebelum ini terhadap bapanya, Abdel Salam yang tercedera dalam satu daripada percubaan itu berkata, dia sekeluarga sudah reda.

"Kami menyerahkan diri kami kepada Allah SWT untuk kesyahidan beliau, sebagaimana ayah saya memberitahu kami setiap hari untuk melepaskan diri kami daripada mana-mana bahagian.

"Keyakinan kami sangat besar terhadap rakyat Palestin dan kepimpinan Palestin bahawa darah syuhada mesti menyatukan kami," katanya.

Abdul Salam menekankan kepentingan perpaduan dalam barisan Palestin sebagaimana fokus penekanan dan penerapan bapanya berdedikasi untuk perpaduan negara.

"Musuh yang kejam tidak membezakan antara seorang Palestin dan yang lain.

"Kita semua sedang menghadapi bencana maut yang dilakukan oleh musuh sama iaitu Israel. Tetapi percayalah musuh ini akan lenyap, sama ada hari ini atau esok, dan kita semua akan menyaksikan keruntuhannya," tambahnya.

Tiada ulasan: