"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita dapat ganti rugi lebih RM7 juta akibat lengan hancur digilis lori

V Anbalagan

KLANG: Seorang wanita dianugerahkan ganti rugi RM7.1 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini dalam saman yang difailkan terhadap syarikat insurans seorang penunggang motosikal atas kecederaan yang dialaminya apabila digilis sebuah lori 10 tahun lepas.

Hakim Zarifah Zainal Abidin menganugerahkan M Saranya RM6.9 juta untuk pembelian, penggantian berkala dan penyelenggaraan lengan ortotik elektronik, ditambah RM215,000 untuk kesakitan dan penderitaan dialaminya, setelah membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Kecederaan ‘plexus brachial’ dialami Saranya menyebabkan beliau hampir tidak dapat menggunakan lengan kirinya. Sejak kemalangan itu, Saranya tidak mampu melakukan tugas-tugas mudah yang memerlukan beliau menggunakan kedua-dua tangannya dan banyak bergantung kepada ibunya, R Naga Chittra, untuk keperluan hariannya.

Peguamnya berhujah, wanita itu tidak boleh menjalani kehidupan normal, dan mengalami trauma selepas kemalangan itu sehingga takut menaiki kereta.

Peranti prostetik itu, MyoPro 2, boleh membantu Saranya menjalani kehidupan yang hampir normal dan tidak bergantung kepada orang lain, kata peguamnya.

Pada 5 Ogos 2014, Saranya yang ketika itu berusia 12 tahun membonceng motosikal yang ditunggang bapanya, N Mahendran, selepas dijemput dari sekolah.

Sebuah lagi motosikal merempuh kenderaan mereka dari arah belakang di Persiaran Hamzah Alang, Kapar, Klang, menyebabkan penunggangnya, Shazrin Hassan, terkorban.

Rempuhan itu menyebabkan Mahendran dan Saranya terhumban ke atas jalan di tengah-tengah laluan sebuah lori, yang menggilis mereka berdua.

Mahendran terbunuh, manakala Saranya cedera di kepala dan lengannya hancur.

Saranya, menerusi ibunya, menyaman pemandu lori dan pihak Shazrin pada 2018. Penanggung insurans pemandu lori itu sebelum ini telah membayar jumlah yang tidak didedahkan kepada Saranya dalam penghakiman persetujuan.

Peguam GK Ganesan dan RS Kameswary mewakili Saranya, manakala Vinod Kamalanathan bertindak bagi pihak syarikat insurans Shazrin.

Tiada ulasan: