"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Nenggiri: ‘Cerita kartun’ Bersatu tandus calon, kata Umno Kelantan

FMT Reporters
Rizwadi Ismail diumumkan sebagai calon PN pada PRK Nenggiri semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Rizwadi Ismail dikatakan baru dua hari menyertai Bersatu sebelum diumum menjadi calon Perikatan Nasional bagi PRK Nenggiri. 
PETALING JAYA: Bersatu ketandusan calon apabila terpaksa mengambil bekas ahli PAS menyertai parti itu untuk bertanding PRK Nenggiri, kata Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman.

Zawawi mendakwa, ia jelas bahawa Bersatu tidak mempunyai kuasa terutama di Kelantan.

“Sebelum ini Pemuda PAS Gua Musang minta calon PAS diletakkan di DUN Nenggiri dan Bersatu pula menegaskan kerusi itu milik mereka.

“Semalam semua orang boleh lihat Bersatu terpaksa akur dengan gesaan PAS Gua Musang apabila bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang diangkat sebagai calon.

“Secara jujur seolah-olah PAS yang bertanding dan disebabkan mahu menghalalkan kuota parti memandangkan DUN Nenggiri kerusi Bersatu, ahli PAS keluar parti dan menyertai Bersatu.

Ini dinamakan cerita kartun dan sudah jelas Bersatu tidak mempunyai kuasa, selain tidak mempunyai calon yang berkualiti, katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

Malam tadi, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang juga bekas pegawai tentera laut sebagai calon Bersatu akan mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRK Nenggiri.

Rizwadi adalah anak tempatan Nenggiri dan pernah memegang jawatan timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang sebelum diumum menyertai Bersatu.

Beliau dikatakan baru menyertai parti itu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dipetik sebagai berkata, tidak timbul isu konon partinya ketandusan calon kerana keutamaan adalah mencari calon terbaik.

Tiada ulasan: